Remaja 17 tahun ditemui mati lemas di Tanjung Aru
Astro Awani
Disember 12, 2016 17:05 MYT
Disember 12, 2016 17:05 MYT
Mayat remaja lelaki berusia 17 tahun ditemui terdampar di pantai selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi di Pantai Tanjung Aru.
Menurut Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, ACP M. Chandara, mangsa yang merupakan seorang pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Kinarut dilaporkan hilang ketika mandi bersama adiknya di pantai berkenaan pada 12.30 tengah hari Ahad.
“Kejadian berlaku pada jam satu tengah hari semalam dan pada jam 12 tengah hari, usaha mencari dan menyelamat dijalankan di sepanjang pantai dan kawasan laut bersama dengan pasukan Marin, Jabatan Bomba dan Jabatan Pertahanan Awam.
“Malam kelmarin, cuaca yang buruk memaksa kami menangguhkan misi dan selepas disambung pada jam enam pagi tadi, kami menjumpai mangsa telah terdampar di tepi pantai lebih kurang satu kilometer dari tempat kejadian,” jelasnya
Menurutnya lagi, polis menerima laporan mengenai kejadian itu lantas melancarkan gerakan mencari dan menyelamat pada jam satu petang pada Ahad.
Mangsa bersama-sama keluarganya berkunjung ke pantai itu untuk berkelah dan mandi laut pada hujung minggu.