Remaja 17 tahun ditahan edar dadah
Radhi Muslim
Februari 12, 2019 13:46 MYT
Februari 12, 2019 13:46 MYT
Seorang remaja tingkatan lima ditahan kerana disyaki menjadi pengedar dadah dalam satu serbuan di kawasan tempat letak kereta Bandar Tabanak, Lahad Datu pada Isnin.
Remaja berusia 17 tahun itu bersama dadah jenis syabu dengan berat 5.2 gram ditahan dalam serbuan kira-kira 3.35 petang.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, siasatan ke atas suspek menemui satu paket lutsinar berisi hablur jernih disyaki dadah syabu dan 12 gulung kertas timah disimpan dalam beg silang miliknya.
Menurut Nasri, siasatan awal remaja lelaki itu tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan disyaki warganegara Indonesia.
“Siasatan mendapati, lelaki itu mula menjadi pengedar sejak enam bulan lalu dan kini ditahan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.