Remaja 17 tahun didakwa bunuh Nuraina Humaira

Abd Razak Mohd Ali
Ogos 27, 2024 10:00 MYT
Tertuduh ketika tiba di Mahkamah Majistret Sungai Siput pada Selasa. - Astro AWANI
SUNGAI SIPUT: Seorang remaja Orang Asli berusia 17 tahun didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan membunuh Nuraina Humaira Rosli, 10, dua minggu lalu.
Tertuduh mengangguk faham apabila pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nurul Asyifa Redzuan.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa melakukan bunuh sehingga menyebabkan kematian pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Kuala Mu, Nuraina Humaira Rosli, 10, di kawasan berpaya Kampung Bersah, Pos Kuala Mu, Sungai Siput antara jam 2.30 hingga 5 petang, 16 Ogos lalu.
Atas kesalahan itu, tertuduh yang juga saudara terdekat mangsa didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan dan untuk kanak-kanak ditahan penjara selama mana diperkenan di bawah Seksyen 97(2) Akta Kanak-Kanak 2001.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 28 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk laporan kimia, ujian asid deoksiribonukleik (DNA), patalogi dan laporan prestasi pelajar.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya RS Vitthiyeswary manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sebelum ini media melaporkan, suspek ditahan pada 19 Ogos lalu selepas laporan bedah siasat dijalankan ke atas mangsa menunjukkan terdapat kesan koyakan pada kemaluan dan kecederaan akibat tekanan pada bahagian leher.
Polis juga tidak menolak kemungkinan mangsa telah dirogol sebelum dibunuh.
Suspek direman tujuh hari sebelum disambung lima hari lagi yang sepatutnya berakhir 30 Ogos ini.
Terdahulu, media melaporkan mayat murid tahun empat itu ditemukan sekitar jam 4.20 petang, 17 Ogos lalu, hasil operasi mencari yang digerakkan selepas mangsa dilaporkan tidak pulang ke rumah sehari sebelumnya.
Mangsa dijumpai dalam keadaan terbaring di kawasan berpaya di perkampungan Orang Asli Kampung Bersah, Pos Kuala Mu.
#remaja #Nuraina Humaira Rosli
;