Remaja 16 tahun lemas di Sungai Kampung Tualang
Vivi Sumanti
Mac 24, 2020 22:53 MYT
Mac 24, 2020 22:53 MYT
Remaja lelaki berusia 16 tahun ditemui lemas di Sungai Kampung Tualang, di sini, petang Selasa.
Difahamkan dalam kejadian pada jam 5 petang itu, mangsa, Ahmad Idani Baharom bersama beberapa rakannya sedang mandi di sungai berkenaan sebelum mangsa disedari hilang dari pandangan.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Noor Zaidi Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.47 petang dan sampai di lokasi kejadian kira-kira 6.01 petang.
"Seramai empat anggota dari BBP Kuala Krai dikerahkan ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang dikhuatiri lemas.
"Bagaimanapun, selepas hampir 40 minit operasi SAR dilakukan, mangsa ditemui oleh orang awam pada jarak 60 meter dari lokasi dia dipercayai lemas," katanya ketika dihubungi, di sini, tadi.
Katanya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk dibedah siasat," katanya.