Remaja 16 tahun ditahan miliki kulit kayu tangar hutan simpan Sabah
Bernama
September 9, 2021 06:30 MYT
September 9, 2021 06:30 MYT
SANDAKAN: Seorang remaja Filipina berumur 16 tahun leka memuatkan kulit-kulit kayu tangar, sejenis pokok yang tumbuh di paya bakau, ke dalam sebuah bot di hutan simpan di Kinabatangan, tanpa disedari perbuatannya itu dirakam dron dilengkapi kamera.
Kejadian yang berlaku bulan lepas itu menyebabkan remaja tersebut ditahan pihak berkuasa, namun menurut Ketua Konservator Jabatan Perhutanan Sabah Frederick Kugan, terdapat beberapa suspek terlibat yang masih bebas dan usaha menjejaki mereka sedang dilakukan Pasukan Gerakan Am.
"Susulan rakaman dron itu, satu serbuan diketuai Pembantu Pegawai Perhutanan Kinabatangan Ajamain Alias dan 20 kakitangan berjaya menangkap suspek berkenaan.
"Beliau ditahan kerana disyaki memiliki secara haram kulit kayu tangar di Hutan Simpan Trusan Kinabatangan pada kira-kira pukul 11.20 pagi, pada 7 Ogos lepas. Bagaimanapun atas nasihat Timbalan Pendakwa Raya, remaja itu diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk dihantar pulang," katanya dalam kenyataan semalam.
Frederick berkata kulit kayu tangar seberat 950 kilogram bernilai RM12,350 telah dirampas selain lapan khemah, sembilan bot kayu, peralatan memasak, bekas berkapasiti tiga gelen berisi beras, dua bilah kapak, tiga alat pengupas dan satu karung mengandungi pakaian.
Beliau berkata didapati kira-kira 170 batang pokok tangar telah ditebang melibatkan kawasan seluas dua hektar untuk menghasilkan kulit kayu tangar sebanyak itu.
Menurut Frederick tahun ini pihaknya telah membuat enam tangkapan membabitkan pencuri kulit kayu tangar yang dipercayai dilakukan sindiket berpangkalan di negara jiran.
Katanya antara lokasi-lokasi sasaran sindiket berkenaan ialah Sungai Pitas, Sungai Inarab, Sungai Sugut, perairan Pulau Jambongan, perairan persisiran Pulau Banggi dan Kuala Meruap.
"Berikutan lokasi-lokasi tersebut sangat padat dengan spesies pokok tangar, yang dipercayai digunakan sebagai pewarna pakaian dan juga dalam industri minuman, modus operandi suspek termasuklah menyelinap masuk secara haram ke lokasi-lokasi ini. Kami mengesyaki warga tempatan sebagai dalang sindiket itu," katanya.
Frederick berkata tempat-tempat sasaran itu adalah dalam kawasan lembangan Kinabatangan dan Segama seluas 78,000 hektar dan merupakan salah satu tapak Ramsar di Malaysia.
"Pencuri kulit kayu tangar ini boleh mencemari nama baik Sabah dan Malaysia, sekiranya aktiviti ini tidak dibendung.
"Ekosistem paya bakau di kawasan ini adalah habitat atau tempat pembiakan bagi spesies-spesies ikan penting di Sabah yang menjadi punca pendapatan kepada nelayan tempatan, serta dalam masa yang sama memelihara kepelbagaian flora di kawasan ini," katanya.
Frederick juga berkata pihaknya akan menambah baik keupayaan anggota penguat kuasa jabatan itu, termasuk memanfaatkan sepenuhnya Unit Penguatkuasaan Khas atau 'Project Team' jabatannya yang telah dilatih untuk menangani pelbagai situasi jenayah hutan yang turut dilengkapi dengan peralatan berkapasiti tinggi bagi pemantauan yang lebih baik.
-- BERNAMA