Remaja 15 tahun berhenti sekolah jaga ayah sakit, urus adik-adik di rumah
Adie Sufian Zulkefli
Januari 4, 2024 12:00 MYT
Januari 4, 2024 12:00 MYT
KUALA KEDAH: Meskipun baru berusia 15 tahun, namun, Nurul Khadijah Helmy Sham sudah memikul tanggungjawab menjaga bapanya yang sakit selain memberi laluan kepada dua kakaknya untuk meneruskan pengajian.
Nurul Khadijah sanggup berkorban waktu demi menjaga bapanya, Helmy Sham Salamon, 49, yang menghidap ketumbuhan dalam perut sejak Mei lalu menyebabkan dia tidak meneruskan persekolahan.
Selain sibuk menjaga bapanya, anak ketiga dari lapan beradik itu turut bergilir menggalas tanggungjawab menjaga lima adiknya di rumah ketika ibu mereka, Azliyana Othman, 45, terpaksa menemani bapanya di hospital.
Nurul Khadijah berkata, apabila bapanya dimasukkan ke hospital, ibunya akan menjaga bapanya di sana dan ketika itulah dia mengambil alih tugas menjaga adik-adiknya yang berusia 13 tahun hingga 10 bulan.
Ada kala, kata Nurul Khadijah, dia bergilir menjaga bapanya di wad, sementara, ibunya pula mengambil alih menguruskan adik-adik dan rumah tangga.
Kakak sulung Nurul Khadijah iaitu Nurul Syafiqah, 19, kini melanjutkan pengajian di sebuah kolej di bandar raya ini manakala kakak kedua, Nurul Hafiqah di tingkatan lima dan sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ujian buat keluarga itu tambah berganda apabila Nurul Syafiqah serta adiknya yang juga anak kelima, Ahmad Muhammad, 11, menghidap Talassemia menyebabkan mereka perlu menjalani pemeriksaan setiap bulan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
Sementara itu, anak ketujuh dalam keluarga itu, Nurul Khayra, 4, pula menghidap sawan dan penyakit itu boleh menyerangnya pada bila-bila masa dan perlu dipantau sentiasa.
Disebabkan itu, Nurul Khadijah tiada pilihan selain daripada berkorban masa depannya dengan menguruskan makan minum mereka di rumah selain menghantar dan mengambil adik-adiknya ke sekolah.
“Dalam 10 hari saya tak pergi sekolah sebab mak saya kena uruskan ayah pergi hospital… ayah saya pula memang ulang alik pergi hospital sebab dia sakit lepas.
“Disebabkan itu, saya tak pergi sekolah sebab saya nak kena jaga adik, mak nak keluar uruskan bantuan untuk dapatkan duit. (Kami) tak ada duit sebab ayah saya tak kerja dia sakit mak saya pun tak ada pendapatan,” cerita Nurul Khadijah kepada Astro AWANI ketika berkunjung ke rumahnya baru-baru ini.
Sementara itu, menurut ibunya, Azliyana, dia pernah kehabisan wang kerana tidak mempunyai simpanan disebabkan tidak bekerja dan sebelum ini hanya bergantung pada suami yang bekerja sebagai pemandu lori.
Kata Azliyana, suaminya disahkan menghidap ketumbuhan itu sejak Jun lalu selepas mengadu sakit di bahagian perut dan mengalami masalah membuang air besar.
Azliyana berkata, ekoran kesakitan yang tidak dapat ditanggung, suaminya terpaksa dibawa ke klinik sebelum dipindahkan ke HSB.
Kegusaran Azliyana bertambah apabila doktor memaklumkan usus suaminya sudah pecah ketika itu dan perlu menjalani rawatan segera.
“Macam anak nak pergi sekolah, saya ada bekalkan makan sikit-sikit, ada lagi duit sikit-sikit jadi dia orang bawa roti tapi… selepas itu dalam masa tiga empat hari anak-anak dah tak ada duit belanja, saya terputus bekalan terus. Beras memang tak ada, dia orang balik sekolah tak makan,” luah Azliyana.
Sementara itu, beban ditanggung Azliyana sekeluarga mendapat perhatian Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal yang mengunjungi keluarga itu.
Zuraini menghulurkan sumbangan wang tunai, beras dan barangan keperluan dapur untuk kegunaan Azliyana sekeluarga.
“Saya berdoa kepada Allah agar lebih ramai bantu keluarga ini untuk meringankan beban mereka. Ada hari mereka tidak makan, kalau makan maggi kongsi lapan orang.
“Bukan satu benda yang mudah nak jaga anak, nak pastikan anak-anak bersekolah dapat pendidikan,” kata Zuraini.
Orang ramai yang berhasrat menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun 02134-29-00010944-1 Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Azliyana atau menghubunginya di talian 012-4860561.