Remaja 14 tahun antara lima suspek utama culik bayi
Dewi Nur Harasha Alias
Ogos 25, 2022 14:21 MYT
Ogos 25, 2022 14:21 MYT
BUKIT MERTAJAM: Remaja perempuan berusia 14 tahun antara lima individu ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kes penculikan seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan dari rumah pengasuh di Bukit Tengah, Pulau Pinang pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, kesemua mereka berusia 14 hingga 43 tahun ditahan dalam dua serbuan di Machang Bubok, Bukit Mertajam dan Kulim Kedah.
Menurut Cheng San, remaja perempuan yang juga suspek utama itu ditahan bersama dua lelaki termasuk teman lelakinya dalam serbuan di Machang Bubok, Bukit Mertajam pada 11.50 malam hari sama.
Manakala dua lagi suspek ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Kulim, Kedah, di mana bayi berkenaan ditemui.
Cheng San berkata, suspek mendakwa dia melarikan bayi berkenaan kerana suka pada bayi itu kerana comel, selain mendakwa 'anaknya' bersama bekas teman lelaki terdahulu.
"Bayi berkenaan ditemui di Kulim, iaitu di rumah teman lelaki suspek. Ketika itu, ibu kepada teman lelaki suspek sedang jaga bayi ini. Serbuan dilakukan selepas jam 12 tengah malam.
"Motif penculikan menurut suspek perempuan 14 tahun ini, dia beritahu yang dia sangat suka budak ini, sebenarnya suspek remaja ini pula dia sudah tidak bersekolah dan datang dari keluarga brmasalah," kata Cheng San.
Beliau menambah, siasatan mendapati suspek melakukan penculikan ketika bayi itu berada di bawah jagaan neneknya yang juga pengasuh bayi berkenaan.
Suspek bertindak membawa lari bayi itu ketika neneknya yang berusia 65 tahun sedang menunaikan solat di dalam bilik.
Ditanya sama ada penculikan itu menjurus kepada sindiket penjualan bayi, Cheng San berkata siasatan masih lagi dijalankan.
Sementara itu polis turut menafikan dakwaan berlaku transaksi jual beli ketika penculikan bayi berkenaan.
"Kesemua mereka telah ditangkap kerana dipercayai terlibat dalam kes melarikan bayi berkenaan dan direman di Mahkamah Bukit Mertajam.
"Mereka terdiri dari dua wanita dan tiga lelaki berusia 14 hingga 43 tahun. Mereka direman selama empat hari bermula 24 hingga 27 Ogos bagi membantu siasatan Seksyen 363 iaitu culik dan siasatan lanjut masih diteruskan," katanya dalam sidang Media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di Bukit Mertajam pada Khamis.
Ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek negatif dadah dan tiga daripada mereka tidak bekerja manakala dua lagi masing-masing berniaga serta pemandu van kilang.
Terdahulu, tular di media sosial kes seorang bayi dilarikan seorang wanita dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Bukit Tengah.