Remaja 13 tahun ditahan bersama paket syabu

Ruzaini Zulkepli
Februari 1, 2020 21:54 MYT
Menurut pihak berkuasa, remaja warga asing itu bukan sahaja berani menagih dadah bahkan 'berkecimpung' sebagai pengedar dadah. - Foto ihsan polis
Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun ditahan bersama beberapa peket plastik lutsinar berisi dadah jenis syabu di pekan Inanam, Kota Kinabalu.
Menurut pihak berkuasa, remaja warga asing itu bukan sahaja berani menagih dadah bahkan 'berkecimpung' sebagai pengedar dadah.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, suspek tersebut merupakan antara 12 individu yang ditahan dalam operasi berkenaan.
"Berdasarkan pemeriksaan awal, ketika remaja lelaki itu ditahan, dia sedang berurus niaga menjual dadah jenis syabu kepada pelanggan di sekitar pekan Inanam," katanya.
Suspek itu dibawa ke balai untuk disiasat di bawah Seksyen 39a(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala 12 lagi individu disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.
Sementara itu, beliau berkata, sepanjang tempoh minggu kajian bermula 25 Januari hingga 31 Januari, seramai 46 individu berjaya ditahan atas kesalahan penyalahgunaan dadah di sekitar bandar raya tersebut.
Ia turut melibatkan rampasan 13.48 gram syabu dianggarkan bernilai RM2,022 mengikut harga pasaran dadah semasa.
#Dadah #pekan Inanam #Polis Daerah Kota Kinabalu #remaja 13 tahun #Syabu
;