RELA lancar siasatan dalaman dakwaan 'pendaftaran tanpa rela'
Hakim Rahman
Jun 15, 2021 11:55 MYT
Jun 15, 2021 11:55 MYT
KUALA LUMPUR: Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti tatacara pendaftaran keanggotaan yang dilaksanakan sebelum Akta Pasukan Sukarelawan Malaysia (Akta 752) dikuatkuasakan pada tahun 2012.
Siasatan dibuat selepas terdapat dakwaan berlakunya pendaftaran automatik sebagai anggota RELA seperti yang tular di media sosial.
RELA dalam kenyataan bagaimanapun menafikan berlakunya pendaftaran secara automatik dan menegaskan perbuatan tersebut bercanggah dengan perkara yang dinyatakan di Seksyen 6(1), Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.
“Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) maklum akan kegusaran orang ramai dan akan mengambil tindakan sewajarnya untuk menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti tatacara pendaftaran keanggotaan yang dilaksanakan sebelum Akta 752 berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan.
Seksyen 7(1) Pendaftaran sebagai anggota RELA, Akta Pasukan Sukarelawan Malaysia (Akta 752) tahun 2012 menyatakan bahawa: Seseorang orang yang berumur 18 tahun dan ke atas yang berupa seorang warganegara dan bukan seorang anggota Angkatan Tentera atau mana-mana pasukan atau skim sukarelawan yang ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis boleh memohon secara bertulis kepada Ketua Pengarah untuk didaftarkan sebagai anggota RELA.
Katanya, RELA tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak atau individu yang secara sengaja memproses atau menggunakan data peribadi seseorang bagi tujuan tertentu tanpa mendapat kebenaran individu terbabit.
Sebelum ini, beberapa pengguna Twitter, termasuk Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong, mendedahkan mereka dan ahli keluarga mereka telah didaftarkan sebagai anggota RELA tanpa disedari.
Mengulas lanjut, RELA kini dalam usaha melaksanakan program pemutihan keanggotaan di mana anggota yang tidak aktif dan telah mencapai tempoh lima tahun akan ditamatkan keanggotaan.
“Walau bagaimanapun, program pemutihan keanggotaan berdasarkan Seksyen 9 Akta ini digantung sementara kerana RELA sedang menumpukan usaha untuk melawan wabak COVID-19,” katanya lagi.
Bagi anggota yang masih berminat untuk menyambung keanggotaan boleh berbuat demikian dengan memaklumkan secara bertulis kepada Ketua Pengarah RELA.
Kepada individu terbabit yang mendapati telah didaftarkan sebagai anggota RELA dan ingin menamatkan keanggotaan sila hubungi talian berikut 03-8870 3770 dan emel pro_rela@moha.gov.my untuk dibatalkan keanggotaannya.
#Twitter
#COVID-19
#RELA
#pendaftaran automatik
#Steven Sim Chee Keong
#data peribadi
#Akta Pasukan Sukarelawan Malaysia
#Akta 752