'Rela' ditangkap basah dalam operasi cegah maksiat untuk selesai masalah rumah tangga
Astro Awani
Januari 2, 2017 12:15 MYT
Januari 2, 2017 12:15 MYT
Dua wanita yang masih berstatus isteri dan empat janda antara 10 wanita yang ditahan kerana disyaki berkhalwat bersama teman lelaki masing-masing dalam operasi bersepadu yang dijalankan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) lewat pagi tadi.
Ada antara mereka membuat ‘pengakuan berani’ dengan mengatakan teman lelaki sebagai suami bagi mengelak ditahan pihak berkuasa, selain ada juga yang turut membawa anak kedalam bilik hotel.
Ketua Pegawai Penguatkuasa JAIM, Rahimin Bani yang mengetuai operasi cegah maksiat itu berkata operasi yang bermula sekitar 11.30 malam dan berakhir 5 pagi itu, sebanyak 10 pasangan ditahan hasil serbuan di tujuh buah hotel bajet sekitar Bandaraya Melaka.
Katanya, berdasarkan siasatan awal, dua wanita yang masih berstatus isteri tersebut mengakui mereka sedang dalam proses perceraian bersama suami masing-masing.
Selain itu, pihak JAIM turut mengesan satu pasangan yang bernikah di negara jiran dan gagal mendaftar perkahwinan mereka.
“Bagi perempuan yang masih berstatus isteri, sekiranya mempunyai masalah rumah tangga dan sebagainya, janganlah jadikan kegiatan atau perbuatan bersekediaman bersama pasangan baru untuk menyelesaikan masalah.
“Kadang-kadang ada juga mereka berstatus isteri ini menggunakan cara ini untuk menyelesaikan masalah, iaitu apabila berlaku begini, suami akan ceraikan mereka. Ini sesuatu yang tidak betul. Sebab tu kita nasihatkan supaya mana-mana pasangan yang ada masalah rumah tangga agar merujuk ke JAIM untuk mendapatkan nasihat bagi menyelesaikan masalah,” ujar Rahimin.
Jelasnya, pelbagai alternatif boleh dilakukan mereka yang mempunyai masalah rumah tangga termasuk mendapatkan khidmat nasihat daripada pejabat JAIM.
Selain itu katanya, kesemua mereka yang ditahan berusia 21 hingga 56 tahun dan ada antaranya merupakan penuntut universiti awam dan juga kakitangan kerajaan.
Dalam pada itu, sembilan lelaki termasuk seorang guru berusia 36 tahun turut ditahan pihak JAIM dalam serbuan di empat rumah urut sekitar Melaka Raya kerana disyaki berkhalwat.
Jelasnya, kesemua mereka yang ditangkap akan disiasat di bawah Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Jenayah Melaka 1991 kerana berkurung mendatangkan syak.
Operasi bersepadu sempena tahun baru itu dijalankan bersama beberapa agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), dan dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Dalam pada itu, ada antara mereka yang ditahan didapati positif dan memiliki dadah jenis syabu selain disyaki pengedar dadah susulan penemuan beberapa barangan termasuk penimbang dan beberapa paket lut sinar kosong di bilik hotel yang disewa mereka.