Rekod urusan mahkamah anak negeri, keputusan perbicaraan perlu dijadikan jurnal

Bernama
Februari 21, 2024 05:30 MYT
Joachim berkata sumber rujukan undang-undang MAN pada masa ini sangat terhad dan tidak banyak dijadikan sebagai jurnal. - Foto fail/JapenSabah
KOTA KINABALU: Rekod urusan dalam Mahkamah Anak Negeri (MAN) serta keputusan perbicaraan di mahkamah itu perlu dibukukan untuk dijadikan sebagai Jurnal Undang-Undang Anak Negeri.
Timbalan Ketua Menteri II Datuk Dr. Joachim Gunsalam, yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, berkata ini kerana sumber rujukan undang-undang MAN pada masa ini sangat terhad dan tidak banyak dijadikan sebagai jurnal.
"Ada baiknya jika keputusan-keputusan mahkamah yang terdahulu dapat direkodkan dan disimpan dengan rapi untuk tujuan rujukan kepada kes yang akan datang. Ini sudah semestinya dapat membantu mahkamah atasan sekiranya terdapat kes rayuan daripada MAN.
"Kajian dan penyelidikan perlu dilaksanakan dengan lebih terancang untuk memastikan silibus yang disediakan sesuai dengan amalan dan adat resam Anak Negeri Sabah," katanya dalam kenyataan selepas merasmikan Majlis Penutup Kursus Tatacara Perbicaraan dan Penulisan Penghakiman Ketua-Ketua Daerah Negeri Sabah di Keningau di sini pada Rabu.
Beliau berkata kursus anjuran Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri (ILMAN) itu, diharap dapat memberi nilai tambah dan impak positif kepada perkhidmatan ketua daerah secara keseluruhan.
Dr Joachim turut mengingatkan semua pihak terlibat untuk sentiasa memartabatkan serta memperkasakan MAN sebagai institusi pengadilan terawal dan tertua di Sabah agar setaraf dengan Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil.
"Ia merupakan khazanah negeri tidak ternilai harganya yang akan diwarisi oleh generasi akan datang agar budaya adat resam anak negeri sentiasa utuh," katanya.
Sebagai pengemudi dan pengerak perkembangan Institusi Anak Negeri, beliau juga menyeru Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah sentiasa komited dan bersungguh-sungguh dalam memastikan pentadbiran Anak Negeri ditadbir lebih cekap demi memupuk tenaga kerja dinamik, mampan dan berdaya tahan.
-- BERNAMA
#Joachim Gunsalam #Mahkamah Anak Negeri #Jurnal Undang-Undang Anak Negeri #undang-undang
;