Rekod simpanan Arkib Negara dapat hasilkan catatan sejarah lebih menyeluruh - Aaron

Bernama
September 9, 2024 06:00 MYT
Aaron (dua, kiri) ketika hadir pada Program Mengenang Negarawan Tun Datuk Patinggi Temenggong Jugah Anak Barieng di Kuching, semalam.- Facebook Alexander Nanta Linggi
KUCHING: Maklumat yang dikumpulkan oleh Arkib Negara Malaysia boleh digunakan untuk menghasilkan catatan sejarah yang lebih menyeluruh di negara ini, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.
Aaron berkata sebelum ini, rekod yang disimpan di arkib mungkin agak kurang dimanfaatkan oleh pengkaji sejarah hingga ada pihak yang menimbulkan isu catatan sejarah negara tidak begitu komprehensif.
"Sekarang kita mahu (Arkib Negara) menjadi lebih aktif. Mereka mempunyai kesemua maklumat yang disimpan dan perlu diberitahu kepada orang ramai," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Mengenang Negarawan Tun Datuk Patinggi Temenggong Jugah Anak Barieng di sini semalam.
Beliau berkata kementeriannya juga akan mengadakan satu Konvensyen Sejarah Malaysia pada 19 Sept ini sebagai inisiatif untuk mengumpul catatan sejarah yang lebih menyeluruh di negara ini.
Aaron berkata konvensyen itu juga dapat digunakan sebagai platform bagi pihak yang berkaitan untuk melihat kembali fakta sejarah yang sudah dicatatkan bagi melengkapkan lagi maklumat.
"Mungkin dari segi pengisian (fakta sejarah) di bawah pendidikan tidak begitu menyeluruh, ada yang tertinggal dan sebagainya, justeru daripada konvensyen ini nanti diharapkan kita dapat sampai kepada tahap yang mengikut apa yang tersimpan di Arkib Negara Malaysia," katanya.
-- BERNAMA
#sejarah negara #Aaron Ago Dagang #Arkib Negara Malaysia
;