Reka bentuk kapal LCS sudah siap 94 peratus - Ikhmal Hisham
Hilmi Malik
Oktober 3, 2022 14:33 MYT
Oktober 3, 2022 14:33 MYT
KUALA LUMPUR : Pembinaan reka bentuk bagi kapal tempur pesisir (LSC) yang menjadi kontroversi kini dikatakan telah berada di peringkat 94 peratus.
Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikhmal Hisham Abdul Aziz berkata, baki lagi enam peratus yang masih belum siap membabitkan reka bentuk terperinci yang tidak kritikal iaitu zon kapal permukaan atas air oleh pihak Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).
“Bagi zon kritikal, reka bentuk terperinci telah siap antara 98 hingga 100% hampir siap. Ia adalah zon kapal di bawah permukaan air,” katanya menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari ketika sidang Dewan Rakyat pada Isnin.
Dalam pada itu, Fadhli turut meminta penjelasan sama ada isu reka bentuk terperinci menjadi punca pembinaan LCS berdepan kelewatan.
Mengulas lanjut, Ikhmal Hisham menjelaskan, kerajaan ketika ini menumpukan soal perincian reka bentuk agar ia dapat dimuktamadkan serentak dengan pembinaan kapal tersebut.
Langkah itu sebagai usaha bagi memastikan ia mampu memenuhi keperluan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebagai pengguna akhir.
Tambahnya, Naval Group juga telah meluluskan 82% daripada 94% yang telah disiapkan sehingga November 2019.
Ini termasuk rundingan antara BNS bersama Naval yang berpangkalan di Perancis yang kini masih berjalan.
“Ini penting bagi pastikan apa jua diputuskan kelak dapat penuhi keperluan tentera laut sebagai pengguna akhir.
“Naval Group juga akan menghantar pasukan teknikalnya untuk melakukan audit terhadap reka bentuk terperinci tersebut pada bulan ini,” katanya lagi.
Isu pembinaan LCS mencetuskan kontroversi apabila sejumlah RM6 bilion telah dibelanjakan sejak 2014 namun sehingga kini masih belum siap atau diserahkan sepenuhnya kepada pihak berkenaan.
Sebelum ini, kapal pertama LCS dijadualkan untuk diserah pada April 2019.
Sementara itu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyatakan kapal LCS yang pertama daripada enam kapal dijangka siap sekurang-kurangnya dalam tempoh setahun hingga dua tahun.
Bagaimanapun perkara itu menjadi persoalan ramai pihak berikutan aset TLDM yang masih belum diterima sehingga kini.