Rehda Malaysia harap kerajaan lanjut inisiatif i-Miliki

Bernama
Jun 12, 2023 04:20 MYT
Inisiatif di bawah Program Pemilikan Rumah kerajaan 2022/2023 atau HOPE itu telah bermula pada 1 Jun 2022 dan akan berakhir menjelang 31 Dis 2023. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Malaysia berharap kerajaan dapat melanjutkan tarikh akhir i-Miliki kerana ramai rakyat Malaysia yang mungkin tidak menyedari inisiatif itu akan berakhir lebih kurang enam bulan lagi.
Inisiatif di bawah Program Pemilikan Rumah kerajaan 2022/2023 atau HOPE itu telah bermula pada 1 Jun 2022 dan akan berakhir menjelang 31 Dis 2023.
Presiden Rehda Malaysia Datuk NK Tong dalam satu kenyataan berkata i-Miliki menjadi inisiatif yang amat dialu-alukan untuk membantu rakyat Malaysia memiliki rumah sendiri ketika terdapat ramai golongan B40 dan M40 yang terjejas oleh ekonomi walaupun keadaan semakin pulih,
"Selaras dengan Belanjawan 2023 yang diumumkan sebelum ini, ia merupakan satu lagi bentuk subsidi bersasar bagi membantu rakyat yang layak.
"Digabungkan dengan pengecualian memorandum pemindahan (MoT) untuk pemindahan rumah melalui ikatan kasih sayang antara ibu bapa, anak, datuk, nenek dan cucu sesebuah keluarga yang diwartakan pada hari yang sama, kami percaya ia akan membantu kerajaan memenuhi agenda pemilikan rumah," kata Tong.
Di bawah i-Miliki, pembeli rumah berharga RM500,000 dan ke bawah akan dikecualikan sepenuhnya daripada membayar duti setem ke atas MoT termasuk perjanjian pinjaman, manakala pembeli unit kediaman berharga melebihi RM500,000 sehingga RM1 juta akan menerima 75 peratus pengecualian bagi kedua-dua duti setem itu.
Rehda juga berpendapat langkah-langkah untuk membantu pemilik rumah harus terbuka kepada semua rakyat Malaysia dan tidak terhad kepada pemilik rumah kali pertama.
"Terdapat ramai pemilik rumah yang ingin menaik taraf termasuk mereka yang kehilangan status 'pemilik rumah kali pertama' selepas menerima hartanah sebagai harta pusaka, dan mereka ini tidak dapat menikmati pengecualian i-Miliki.
"Insentif ini akan membantu kumpulan pembeli tersebut," katanya.
-- BERNAMA
#rehda malaysia #i-MILIKI #rumah #Hope
;