Regatta Sarawak 2020 dibatalkan
Astro Awani
Jun 15, 2020 16:30 MYT
Jun 15, 2020 16:30 MYT
Acara tahunan Regatta Sarawak yang menjadi ikon sukan air di Tebingan Kuching tahun ini dibatalkan.
Perkara itu diumumkan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah di Kuching pada Isnin.
Jelas Abdul Karim, keputusan itu terpaksa dibuat selepas mengambil kira hal keselamatan dan kesihatan orang awam susulan penularan pandemik COVID-19.
“Untuk kebanyakan aktiviti tahun ini, kita terpaksa mengambil keputusan untuk membatalkannya dan pastinya kita akan lebih agresif pada tahun depan (2021),” ujarnya.
Abdul Karim bagaimanapun optimis bahawa acara penganjuran pelancongan akan diperhebatkan tahun hadapan dengan pelbagai program yang telah dirancang bagi Kempen Melawat Sarawak 2021.
Penganjuran Regatta Sarawak sepatutnya dianjurkan pada 30 Oktober sehingga 1 November 2020.
Sebelum ini pada Mac, Abdul Karim terlebih dahulu membuat pengumuman mengenai penundaan semua acara besar yang melibatkan kehadiran lebih daripada 250 orang termasuk Rainforest World Music Festival (RWMF) 2020.
#COVID-19
#Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah
#Kempen Melawat Sarawak 2021
#Kuching
#Rainforest World Music Festival
#Regatta Sarawak
#Sarawak
#Tebingan Kuching