Reformasi pembangunan TVET perlu dibuat secara holistik

Astro Awani
Mei 4, 2024 10:15 MYT
P Sri Ganes berkata, negara memerlukan kesepaduan dan sinergi yang memberi tumpuan kepada pembangunan bakat berasaskan 'inovator' berbanding pengguna akhir pada Revolusi Industri 4.0. - Foto SGC
KUALA LUMPUR: Reformasi pembangunan perlu dibuat secara holistik membabitkan ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sedia ada di Malaysia, kata Presiden Yayasan Mahir Malaysia, Datuk P Sri Ganes.
Menurutnya, negara memerlukan kesepaduan dan sinergi yang memberi tumpuan kepada pembangunan bakat berasaskan 'inovator' berbanding pengguna akhir pada Revolusi Industri 4.0.
Menurutnya, syarikat-syarikat komersial yang bukan berlandaskan pendidikan lebih optimis atau ghairah untuk membangunkan produk sendiri dan hanya membina jenama sendiri dengan melatih bakat yang bersesuaian dengan syarikat masing-masing, walhal pembangunan bakat sewajarnya bersifat mampan dan bukannya sentrik pengguna.
"Syarikat-syarikat besar ini mendapat perhatian daripada kerajaan yang berpendapat bahawa mereka dapat menjana atau membangunkan bakat untuk negara, sedangkan bakat seharusnya dibangunkan menerusi kerjasama TVET dan syarikat kecil dan sederhana (SME) bagi memenuhi demografi kemahiran mampan.
"Sesungguhnya, dalam konteks pembangunan TVET, ia adalah lebih luas daripada apa yang digambarkan. Kelestarian bakat (TVET) memerlukan strategi yang komprehensif.
"Ini kerana ia melibatkan pemahaman terhadap permasalahan teknologi, menganalisis permasalahan, mencari penyelesaian serta mewujudkan impak yang berkesan selari dengan keperluan TVET semasa," katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani papan tanda dan penyerahan kenderaan EV oleh Autotronics Center of Excellence Sdn Bhd kepada ADTEC Melaka dan majlis penyerahan Malaysia Book of Records kepada Autotronic Center of Excellence Sdn Bhd sebagai Pusat Penilaian Amali (PPA) Pertama bagi kereta elektrik bateri (BEV) di Malaysia, di Melaka, baru-baru ini.
Majlis yang disempurnakan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong itu turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia, Shakib Ahmad Shakir dan Pengarah ADTEC Melaka, Norhuda Salim.
Justeru Sri Ganes yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SG Education Group berkata, kerajaan seharusnya memberi sepenuh kepercayaan kepada pengendali institusi pendidikan tinggi TVET.
Menurutnya, kerajaan menerusi Jabatan Tenaga Manusia (JTM) perlu menjadi perantaraan antara industri dan syarikat-syarikat besar dalam memenuhi keperluan semasa.
"Pusat-pusat bertauliah atau kolej TVET ini menjalankan program-program mengikut Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) yang dibangunkan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia sebagai agensi yang bertanggungjawab menetapkan standard pekerjaan di Malaysia.
"Oleh itu, apa yang penting, pada masa ini kita perlu memastikan tenaga kerja tempatan yang mempunyai kemahiran yang mencukupi dan berkualiti tinggi bagi menarik pelabur-pelabur asing dan menerajui sektor-sektor yang bakal berimpak tinggi pada masa akan datang," tambahnya.
Pada masa sama, Sri Ganes menyeru kerajaan untuk memberi perhatian kepada kolej-kolej TVET yang menggunakan dana sendiri untuk memberi impak dalam membangunkan tenaga mahir negara.
#TVET #Kementerian Sumber Manusia #Kementerian Pendidikan #Yayasan Mahir Malaysia
;