Reformasi Dasar Pengguna Negara perlu ambil kira semua aspek kehidupan - CAKE
Irfan Faruqi
Mac 23, 2023 20:19 MYT
Mac 23, 2023 20:19 MYT
KUALA LUMPUR: Reformasi Dasar Pengguna Negara harus meliputi segenap aspek kehidupan rakyat termasuk kos makanan, perumahan, pengangkutan awam dan pengangkutan persendirian.
Presiden Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, pengguna harus diberikan ruang untuk membuat pilihan daripada tawaran yang munasabah dalam pasaran supaya boleh berbelanja mengikut kemampuan dan kadar pendapatan masing-masing.
"Apabila kita kaji balik Dasar Pengguna Negara yang lalu, (kekurangan) yang belum ditambah ialah soal kelestarian pengguna itu sendiri. Ini termasuk kelestarian alam sekitar, perbelanjaan dan sekuriti makanan.
"Apa yang perlu ditumpukan ialah tindakan kerajaan untuk memastikan sumber terpelihara. Memandangkan sumber kita mencukupi tetapi mungkin ada unsur-unsur monopoli dan kartel yang menyebabkan harganya tidak mampu dimiliki pengguna," katanya di dalam program Pantau Agenda Reformasi pada Khamis.
Dalam pada itu, Mohamad Yusrizal menjelaskan, tindakan tersebut akan membolehkan ekonomi dibuka kepada lebih ramai pengusaha.
Katanya, ia sekali gus menghapuskan unsur monopoli dan menyuburkan persaingan yang sihat.
Pada sisi lain, beliau turut menekankan soal dasar pengguna yang mampu memberikan pendidikan dan yang lebih berkesan mengenai hak pengguna.
"Bukan sahaja memberi penekanan kepada pengguna yang bijak memilih, bahkan turut memberi tumpuan kepada aspek bijak mengurus kewangan mengikut kadar pendapatan masing-masing.
"Di dalam perbincangan, kita menekankan soal agensi di bawah Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kewangan untuk memberi kesedaran mengurus kewangan mengikut pendapatan masing-masing," katanya.