Reezal nafi dakwaan terima dana daripada UKSB
Dewi Nur Harasha Alias
Jun 21, 2022 17:35 MYT
Jun 21, 2022 17:35 MYT
KEPALA BATAS: Selepas namanya turut terpalit dengan dakwaan menerima sejumlah dana daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican hari ini tampil menafikan dakwaan tersebut.
Beliau menegaskan langsung tidak mengetahui tentang syarikat yang dikaitkan dalam perbicaraan kes rasuah Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi itu, tegasnya adalah mustahil untuk beliau menerima dana daripada pihak yang tidak dikenali.
Bagaimanapun Reezal berkata, pihaknya sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk membantu siasatan berhubung perkara itu.
"Saya nak menyatakan dengan jelas saya tak pernah terima apa-apa dana politik daripada UKSB malahan saya pun tak kenal dan tak pernah tahu pun UKSB sebelum ini sehinggalah sekarang apabila disebut dalam kes.
"Sebagai ahli politik dan sebagai rasa tanggungjawab saya bersedia untuk memberi kerjasama dan keterangan yang diperlukan dan juga terbuka untuk disiasat. Saya nak ulangi, saya tak kenal UKSB saya tak pernah tahu, macam mana saya nak terima sumbangan daripada syarikat yang saya tak pernah kenal?" soalnya.
Reezal ditemui selepas Majlis Aspirasi Pendidikan Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Utara di Kepala Batas, pada Selasa.
Reezal berkata demikian mengulas dakwaan beliau antara pemimpin yang disebut menerima dana daripada syarikat UKSB.
Terdahulu, seorang pengurus tadbir UKSB, David Tan memaklumkan kepada mahkamah bahawa ada beberapa pemimpin negara dan ahli politik menerima wang daripada syarikat terbabit.
Selain beliau, pemimpin dan ahli politik yang turut dinamakan menerima wang daripada syarikat itu ialah bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Anifah Aman dan bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Shafie Apdal.
Ujar Reezal lagi, sebagai pemimpin politik, beliau tidak menafikan ada menerima sumbangan daripada pelbagai pihak untuk melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan dan ianya disumbangkan melalui Pusat Khidmat Ahli Parlimen.
Namun tegasnya, pihaknya tidak pernah menerima sumbangan mahupun dana daripada syarikat yang bernama UKSB.