Reezal Merican umum pertahan jawatan anggota MT UMNO
Bernama
Jun 10, 2018 23:08 MYT
Jun 10, 2018 23:08 MYT
Anggota Parlimen Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengumumkan akan mempertahan jawatannya sebagai anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada pemilihan parti itu 30 Jun ini.
"Memanglah berkewajaran untuk saya sekurang-kurangnya mempertahankan (jawatan dalam) Majlis Kerja Tertinggi UMNO. Pertamanya, atas alasan suara dari Pulau Pinang. Keduanya memang saya dah duduk dalam MT dan ketiganya suara UMNO lebih bergema di Parlimen.
"Jadi saya fikir InsyaAllah saya akan buat keputusan barangkali mengekal dan menawarkan jawatan MT," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan sempena Aidilfitri berupa wang tunai RM200 kepada 200 penerima dan majlis iftar Parlimen Kepala Batas di Masjid Permatang Rambai, di sini hari ini.
Ditanya sama ada beliau mahu menawarkan diri bertanding jawatan tertinggi parti, Reezal Merican berkata "tidak boleh terlalu ramai menawarkan diri bertanding jawatan tertinggi UMNO kerana ia akan mewujudkan keadaan cacamarba".
Katanya, beliau akan kekal bersama UMNO dan memainkan peranan sebagai anggota Majlis Tertinggi UMNO jika dipilih sekali lagi untuk mewakili suara parti itu.
"Biarlah kita lihat satu, dua pemimpin yang dilihat dan diberi mandat keupayaan mereka menerusi penilaian keupayaan mereka. Biarkan mereka tentukan formula mereka," katanya.
-- BERNAMA