Reezal: Beri peluang kepada calon muda
Wan Syamsul Amly
Ogos 20, 2013 07:47 MYT
Ogos 20, 2013 07:47 MYT
Hanya calon berusia antara 30 hingga 37 tahun dilihat paling sesuai untuk menawarkan diri bertanding jawatan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO.
Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, umur melebihi had akan menyukarkan pembentukan pelapis dan rangkaian jentera yang tersusun.
Reezal yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata, calon terbaik jawatan berkenaan harus mempunyai ciri pemimpin berjiwa pemuda seperti ketuanya, Khairy Jamaluddin.
"Orang telah menjangkaui jauh umur 40 hingga 39 di penghujung pada saya tidak appealing, bayangkan umur dah 40 nak bercakap dengan orang umur 30 tahun, silap-silap anak pun dah umur 20 tahun kalau berkahwin awal," katanya dalam satu temubula bersama Astro Awani.
Sebelum ini, enam exco Pemuda UMNO disebut-sebut bakal menawarkan diri bertanding jawatan nombor dua dalam pergerakan itu.
Mereka ialah exco Pemuda UMNO, Lokman Adam, Ketua Pemuda UMNO Perak, Khairul Azwan Haron, Ketua Pemuda Pulau Pinang Shaik Hussein Mydin, Ketua Pemuda Lenggong Mohd Iruan Zulkefli, Ketua Pemuda Tenom, Jamawi Jaafar dan Naib Ketua Pemuda Titiwangsa Nazir Husin.
Dalam perkembangan berlainan, Reezal ketika yang ditanya keinginan untuk bertanding kerusi Majlis Tertinggi (MT) UMNO menjelaskan mahu berbakti kepada kawasan berbanding memegang jawatan di dalam MT.
Bagaimanapun Reezal tidak menolak kemungkinan bertanding di jawatan berkenaan seandainya diberi kepercayaan oleh akar umbi.
"Seandainya ada kemampuan, maka saya akan melihat kesesuaian , sebab parti tidak boleh dibuatkan lompong, kena ada pengisian, setiap kekosongan perlu ada penisian, tapi kita tak boleh syok sendiri," katanya.
Sebelum ini Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapha Mohamed, Pengerusi MARA, Tan Sri Anuar Musa serta dua orang bekas menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Zulhasnan Rafique dan Datuk Raja Nong Chik Raja Ishak menawarkan diri bertanding jawatan berkenaan.