Redah perjalanan 135km demi sertai PLKN 3.0
Bernama
Januari 12, 2025 16:44 MYT
Januari 12, 2025 16:44 MYT
KUALA LUMPUR: Demi minat mendalam terhadap pasukan beruniform, seorang remaja sanggup menaiki bas seorang diri, meredah perjalanan sejauh 135 kilometer (km) ke ibu negara semata-mata ingin menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0.
Biarpun tanpa ditemani orang tuanya, berbekalkan semangat Chee Ming Hang, 20, yang bertolak dari Temerloh, Pahang petang semalam menumpang bermalam di rumah rakannya di sini hanya untuk memastikan tidak terlewat mendaftarkan diri di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah pagi tadi.
Pelajar Tingkatan Enam di Sekolah Menengah Kebangsaan Temerloh itu berkata sejak kecil memang meminati pasukan beruniform dan bercita-cita menjadi tentera selepas tamat belajar kelak.
"Saya sudah lama bercita-cita menjadi peserta PLKN 3.0 sebab hendak alami sendiri macam mana kehidupan dalam pasukan beruniform. Saya juga minat menjadi askar sebab nampak 'segak' bila pakai pakaian seragam," katanya kepada pemberita selepas menjalani sesi saringan program itu.
Dia yang mengetahui program itu menerusi gurunya, kelihatan teruja bertemu ramai kawan baharu dan menyifatkan program seperti itu menjadi medium terbaik untuk golongan muda sepertinya memperkukuh semangat perpaduan.
Seorang lagi pelatih Muhammad Khayriel Ikhsan Suip, 18, berkata minat terhadap aktiviti lasak menyebabkannya mengambil inisiatif menawarkan diri menjadi peserta PLKN 3.0.
Dia yang bertolak dari Puchong pada 6.30 pagi dengan menaiki motosikal menjadi antara peserta terawal tiba di kem berkenaan pada 7.30 pagi, dan berharap dapat meningkatkan motivasi diri serta menambah ilmu ketenteraan sepanjang menjalani latihan selama 45 hari.
"Saya memang minat (PLKN 3.0) ini, sebab saya sebelum ini memang kadet PKBM (Pasukan Kadet Bersatu Malaysia). Malah, ketika ini juga saya sedang mengikuti pengajian dalam bidang Diploma Penguatkuasa Undang-Undang di sebuah kolej swasta," katanya.
Sementara itu, U. Mugesh Varmaan, 19, berkata meskipun berdebar untuk mengikuti program namun demi mencapai impian menjadi anggota tentera, dia yakin mampu menjalani latihan itu sehingga tamat.
"Saya tahu mengenai PLKN 3.0 ini melalui kolej dan saya ingin menggunakan peluang ini untuk mengejar cita-cita saya untuk menjadi tentera," katanya yang ditemani ibunya M Sivaneswary , 45, dari Klang
Bagi Sivaneswary, meskipun sedih kerana terpaksa berjauhan selama 45 hari daripada anak bongsunya dia berbangga anaknya menunjukkan minat menyertai program itu dan berharap akan memperoleh manfaat daripada modul latihan yang disediakan.
"Memang lama berjauhan tapi dia mungkin belajar banyak perkara, contohnya bagaimana untuk berdikari jika saya sudah tiada nanti.
"Saya juga berharap ibu bapa yang lain tidak risau untuk menghantar anak-anak mereka menyertai program ini kerana saya dapati di kem ini keselamatan mereka memang dijaga dan kemudahan juga dalam keadaan yang baik," kata ibu kepada tiga cahaya mata itu.
Selepas tujuh tahun dimansuhkan, PLKN 3.0 yang diperkenalkan semula kerajaan untuk memupuk semangat patriotisme, memperkukuh perpaduan dan membina jati diri dalam kalangan belia, selain melengkapkan mereka dengan ketahanan menghadapi cabaran hidup melalui pengalaman latihan fizikal serta mental.
Seramai 120 pelatih sukarela dari seluruh negara melapor diri bagi program PLKN 3.0 yang bermula secara rasmi hari ini dan akan menjalani latihan ketenteraan serta kenegaraan selama 45 hari hingga 25 Februari ini.
-- BERNAMA