Rebut peluang biasiswa pendidikan menerusi 'Uni Enrol' - Hannah
Bernama
Mac 21, 2024 21:30 MYT
Mac 21, 2024 21:30 MYT
KUALA LUMPUR: Pelajar di seluruh negara digesa supaya merebut peluang mendapatkan biasiswa bagi melanjutkan pengajian menerusi platform pendaftaran pelajar dalam talian Uni Enrol.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata platform itu memudahkan pelajar untuk mencari kursus bersesuaian serta biasiswa yang layak dimohon dan bagi tahun ini keseluruhan RM25 juta biasiswa dari universiti tempatan dan antarabangsa, badan korporat dan yayasan ditawarkan.
"Saya akan maklumkan juga kepada semua ahli Parlimen berkenaan platform ini kerana pejabat ahli Parlimen sering dilawati oleh ibu bapa dan pelajar untuk bertanya berkenaan biasiswa dan platform ini akan memudahkan kerja-kerja pejabat wakil rakyat.
"Kadang-kadang apabila pelajar tidak mampu untuk mengikuti kursus yang mereka mahu, mungkin mereka akan terus putus asa sahaja, tetapi dengan adanya platform ini, ada cara untuk menilai kelayakan mereka untuk mendapatkan biasiswa," katanya pada sidang media selepas melancarkan jerayawara Uni Enrol Scholar Search 2024, di sini hari ini.
Hannah berkata Kementerian Belia dan Sukan juga sedang berbincang dengan pengendali platform itu Uni Enrol Sdn Bhd untuk menyenaraikan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam platform tersebut.
Menurut Hannah langkah itu diharap dapat memberikan pilihan kedua kepada pelajar sekiranya kelayakan mereka tidak mencukupi untuk mengikuti kursus pengajian yang lain.
Uni Enrol Scholar Search 2024 akan menjelajah ke 33 bandar di 10 negeri bermula 23 Mac ini hingga 7 April bagi memberi penerangan kepada pelajar tentang laluan pengajian tinggi dan peluang biasiswa yang disenaraikan menerusi platform berkenaan.
Ketua Pengawai Eksekutif Uni Enrol Rickson Khaw berkata platform itu menyenaraikan 500 jenis biasiswa dan lebih 4,000 kursus pengajian di 120 universiti tempatan dan antarabangsa.
"Dengan menggunakan algoritma padanan tersendiri untuk memadankan pelajar dengan kursus dan biasiswa yang paling sesuai, kami menyasarkan untuk meningkatkan kualiti keputusan mereka yang diharap akan membawa mereka ke arah kejayaan," katanya.
Sejak 2018, lebih 5,000 pelajar di seluruh negara berjaya mendapatkan biasiswa daripada universiti, korporat dan yayasan dengan memanfaatkan platform Uni Enrol melibatkan keseluruhan RM60 juta.
Maklumat lanjut mengenai tarikh, lokasi dan masa jerayawara Uni Enrol Scholar Search 2024 boleh didapati di laman sesawang https://scholarsearch.unienrol.com/ss2024.
-- BERNAMA