Rebut insentif diskaun bayaran balik PTPTN hingga 31 Mei

Bernama
Mei 26, 2023 16:25 MYT
Ketua Pegawai Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid ketika ditemu bual pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan daripada PTPTN sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 di bangunan PTPTN hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyeru peminjam supaya memanfaatkan insentif diskaun bayaran balik pinjaman hingga 20 peratus yang ditawarkan oleh agensi itu hingga 31 Mei ini.
Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata tawaran diskaun bermula 1 Mac lepas mencakupi empat kategori iaitu pemberian diskaun 20 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman dan diskaun 15 peratus untuk penyelesaian sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang.
"Selain itu, PTPTN juga menawarkan diskaun 15 peratus untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau Debit Terus mengikut jadual bayaran balik dan diskaun lima peratus untuk bayaran balik melalui aplikasi myPTPTN," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata PTPTN telah menyediakan pelbagai saluran bagi memudahkan peminjam membuat bayaran balik termasuk secara dalam talian iaitu melalui aplikasi myPTPTN dan perbankan Internet.
Selain itu, Ahmad Dasuki berkata PTPTN turut membuka kaunter khas di lokasi terpilih di seluruh negara bagi membantu peminjam yang berhasrat untuk merebut peluang insentif diskaun bayaran balik itu.
Pada masa yang sama, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua peminjam yang telah membuat bayaran balik pinjaman sepanjang tempoh pelaksanaan diskaun dan penghargaan kepada rakan strategik yang turut mengadakan kempen membayar balik pinjaman PTPTN.
"Komitmen peminjam yang membuat bayaran balik amatlah dihargai dalam memastikan kelangsungan pemberian pinjaman pendidikan kepada generasi akan datang," katanya.
Peminjam juga boleh menghubungi PTPTN untuk maklumat lanjut menerusi Careline PTPTN di 03-2193 3000, Live Chat melalui www.ptptn.gov.my, e-Aduan https://eaduan.ptptn.gov.my/ atau media sosial rasmi PTPN.
-- BERNAMA
#PTPTN #diskaun bayaran balik #bayaran balik pinjaman #Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional
;