Rebut agihan bekalan air, warga emas terima 50 jahitan
Shuhada Abdul Kadir
September 25, 2019 19:35 MYT
September 25, 2019 19:35 MYT
Gara-gara perselisihan faham, seorang warga emas cedera parah selepas dirempuh ketika pengagihan bekalan air bersih dari lori tangki air.
Mangsa, Mahat Jantan, 62 tahun menerima sekurang-kurangnya 50 jahitan di kepala yang terkoyak 13 sentimeter, selepas terjatuh dan terhantuk di tembok rumah jiran di Kampung Tanah Merah Jaya, Tanjung Kling, Melaka.
Menceritakan detik cemas, mangsa bersama sembilan keluarga lain sedang sibuk mengisi air bersih yang dihantar oleh lori tangki Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) selepas kediaman mereka terputus bekalan sumber air bersih sejak hampir seminggu lalu.
Ketika berehat seleas mengangkat air, seorang lelaki yang juga jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) datang dan secara tiba-tiba memarahi penduduk yang didakwa mengambil air terlalu lama.
“Jadi, saya yang berada di sini ketika itu berehat sementara setelah angkat air. Saya rasa satu perkara tak sewajarnya (berlaku), seorang biro kebajikan menyuarakan sebegitu, jadi saya pergi kepada dia, saya menasihat dia, 'Apa yang awak cakap ni?' Tak sepatutnya awak cakap macam ni, ini semua orang kampung kita.
"Dan pada masa itu berlakunya pergelutan tolak menolak antara saya dengan dia, dan dia tolak saya, jadi saya terjatuh dua kali. Saya tersadung di tembok ini yang menyebabkan kepala saya pecah. Itu yang berlaku," katanya.
Tambah Mahat yang juga Jawatankuasa PKR Cabang Tangga Batu berkata, dia kemudian terpaksa dikejarkan ke Hospital Melaka dengan menaiki ambulan sebelum dibenarkan pulang ke rumah, tengahari tadi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
Katanya, kedua-dua pihak sudah membuat laporan polis dan siasatan lanjut berhubung kejadian itu sedang dijalankan.
#angkut air
#gaduh
#Mahat Jantan
#pengagihan bekalan air
#Syarikat Air Melaka Berhad
#Taman Tanah Merah Jaya
#tangki air
#warga emas cedera parah