Rebat telefon sampai kepada golongan sasaran

Bernama
Disember 31, 2012 15:54 MYT
Pemberian rebat RM200 untuk pembelian telefon pintar berharga sehingga RM500 untuk belia yang diumumkan kerajaan baru-baru ini tidak sepatutnya menimbulkan keresahan di kalangan mereka.
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), ini kerana objektif pakej itu ialah untuk membantu golongan belia yang kurang berkemampuan mendapatkan akses internet kelajuan tinggi 3G.
"Mereka yang mampu memiliki telefon berharga RM500 (dan lebih) sebenarnya bukanlah kategori yang dihasratkan atau sebagai sasaran (pakej ini)," kata Pengerusi SKMM, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi ketika mengumumkan syarat pakej itu Selasa lepas.
Ini jelas menunjukkan bahawa hasrat kerajaan hendak memastikan rebat yang diberikan itu sampai kepada golongan sasaran, iaitu para belia yang tidak mampu membeli telefon pintar berharga lebih RM500.
Penetapan harga maksimum RM500 disokong oleh Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee yang berpendapat mereka yang mampu membeli telefon pintar berharga lebih RM500 tidak perlu memohon supaya peluang terbuka kepada belia lain yang kurang mampu memenuhi kuota 1.5 juta orang belia di bawah tawaran pakej itu.
#Datuk Mohamed Sharil Tarmizi #Mohamed Maliki Mohamed Rapiee #Presiden Majlis Belia Malaysia #SKMM #telefon pintar
;