Rebat GST perkhidmatan prabayar telefon mudah alih disambut baik
Bernama
Januari 1, 2016 07:30 MYT
Januari 1, 2016 07:30 MYT
Pelaksanaan rebat Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada pengguna perkhidmatan prabayar telefon mudah alih mendapat reaksi positif orang ramai yang menyifatkan langkah itu sebagai hadiah tahun baharu.
Berkongsi kegembiraan adalah pekedai runcit, Mohd Adam Mohd Rusly, yang percaya langkah yang diambil kerajaan dan syarikat telekomunikasi itu adalah keputusan yang sangat dinanti-nantikan pengguna.
"Saya sungguh gembira dan amat bersyukur kerana pelaksanaan rebat ini membantu saya mengurangkan perbelanjaan dan menjimatkan wang.
"Ini benar-benar membuktikan mereka prihatin dengan kesejahteraan kami," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Turut sependapat dengan Mohd Adam ialah pelajar A-Level Tan Li Ann, 18, yang berkata dengan adanya rebat itu, dia kini boleh menikmati penggunaan maksimum yang ditawarkan penyedia perkhidmatan prabayar telefon bimbit.
"Sebagai pelajar, penggunaan telefon amat penting sebab kami sentiasa memerlukan maklumat dan semestinyalah kami merasai bebanan apabila GST dikenakan bagi kad prabayar," kata Tan.
Sejajar dengan pengumuman kerajaan semasa pembentangan Bajet 2016 pada Oktober lepas, syarikat telekomunikasi akan memberi rebat selama setahun sepanjang 2016, kepada pengguna prabayar individu yang merupakan warganegara Malaysia.
Rebat bersamaan dengan jumlah GST itu akan dikredit terus ke dalam akaun prabayar mereka, berkuat kuasa 1 Jan hingga 31 Dis 2016.
Di KELANTAN, pekerja swasta di Kota Bharu, Rosmizan Rosdi, 26, berkata dia mempunyai lebih waktu untuk berbual dengan keluarganya dengan nilai kad prabayar dikembalikan kepada pengguna dan pemberian rebat itu menepati pada masanya bagi membantu mengurangkan kenaikan kos hidup kini.
"Saya memperuntukkan sebanyak RM50 untuk pembelian kad prabayar pada setiap bulan. Sebanyak RM36 digunakan untuk melanggan data jalur lebar, manakala baki digunakan untuk menghubungi keluarga dan rakan-rakan," katanya.
Rakannya Nurul Akmal Aida Sohaimi, 26, berkata kerajaan perlu mengekalkan pembayaran rebat berkenaan dan tidak hanya menguatkuasakannya selama satu tahun kerana penggunaan telefon bimbit merupakan keperluan kepada masyarakat terutama golongan belia kini.
Di JOHOR, seorang peniaga kedai makan di Parit Jawa di Muar, Salmah Omar, 55, menyambut baik keputusan kerajaan memberi rebat itu dengan berkata: "Ini membuktikan bahawa kerajaan prihatin dengan beban yang terpaksa dipikul oleh rakyat akibat kenaikan kos sara hidup sejak kebelakangan ini."
Di PULAU PINANG, peniaga ikan, Yushezri Mohd Yusof, 31, berkata langkah itu menunjukkan kerajaan mendengar rintihan dan luahan rakyat dalam menangani kenaikan kos sara hidup.
"Sekarang ini rakyat menanggung beban kos sara hidup yang semakin meningkat saban hari. Langkah kerajaan melaksanakan pemberian rebat GST kad prabayar ini sedikit sebanyak membantu kami yang berpendapatan rendah ini," katanya.
Pengusaha kedai alat telekomunikasi di Jalan Datuk Keramat, Abdul Jabar Ibrahim Shah, 43, berkata pelaksanaan pemberian rebat itu tidak akan menjejaskan perniagaan para pengusaha kad prabayar.
Di KEDAH, Presiden Majlis Belia Kedah Mohd Aizad Roslan mengalu-alukan pemberian rebat prabayar tersebut dan mencadangkan agar ia diperkenalkan pula kepada pelanggan pascabayar bagi memberi kemudahan sama rata.
Kakitangan swasta, Siti Ramlah Shahiran, 39, berkata kerajaan telah menunaikan janji mereka dengan memulangkan kembali CBP yang dikenakan kepada pengguna kad prabayar sebelum ini.
"Perkara ini amat baik dan saya berterima kasih kepada kerajaan kerana prihatin dengan beban yang dihadapi rakyat pada hari ini," katanya.
Di IPOH, penjawat awam Norbaity Ahmad, 30, berkata kerajaan prihatin terhadap kesusahan rakyat terutama yang berpendapatan rendah dengan melaksanakan pemberian rebat GST.
"Golongan berpendapatan rendah rasa sedih apabila GST dikenakan terhadap kad prabayar kerana semua menggunakan telefon bimbit untuk berhubung. Namun hari ini saya bersyukur apabila kerajaan memberi rebat kepada kami," katanya.
Sementara itu, Asliza Musa, 30, berkata langkah ini merupakan sesuatu yang baik dan melegakan pelanggan terutama yang kerap menambah kad tambah nilai prabayar.
Seorang guru, Mohamad Amar Yahya, 33, berkata langkah yang kerajaan laksanakan ini amat bertepatan memandangkan kos sara hidup kini semakin meningkat.
"Terima kasih PM (Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak) kerana memberi rebat GST kepada pengguna prabayar. Saya harap lepas ini kerajaan mengumumkan lebih banyak perkara yang dapat meringankan beban rakyat termasuk menghapuskan GST bagi barangan keperluan," katanya.