Reban ayam musnah terbakar di Segari

Aida Aziz
Jun 19, 2022 05:30 MYT
Insiden tersebut turut membabitkan beberapa ekor ayam di reban tersebut, namun jumlah sebenar masih dalam siasatan. - Foto JBPM Perak
MANJUNG: Sebuah reban ayam di Kilang Ayam Dinding, Segari, Batu 10 di sini musnah terbakar sebanyak 50 peratus malam tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.09 malam pada Ahad.
Difahamkan insiden tersebut turut membabitkan beberapa ekor ayam di reban tersebut, namun jumlah sebenar masih dalam siasatan.
"Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Remis dengan bantuan BBP Sitiawan dan Pasukan Bomba Sukarelawan (PBS) Pantai Remis bergegas ke lokasi.
"Sampai di lokasi, anggota mendapati kebakaran melibatkan sebuah reban ayam kelas C berkeluasan 115x15 musnah terbakar 50 peratus.
"Kebakaran itu turut membabitkan sejumlah ayam di reban tersebut, namun jumlah sebenar belum diketahui," katanya dalam kenyataan pada lewat malam Ahad.
Menurut kenyataan itu, kebakaran telah dipadamkan oleh anggota PBS Pantai Remis dan pekerja di kilang tersebut, sebelum pihak bomba BBP Pantai Remis tiba di lokasi kejadian.
"Anggota membuat overhaul bagi memastikan tiada bara api di lokasi sehingga kebakaran itu berjaya dipadam sepenuhnya," katanya lagi.
Operasi yang diketuai oleh PPgB Mohd Akmal Hussin itu tamat pada jam 11.18 malam.
#reban ayam #terbakar #Kilang Ayam Dinding #JBPM
;