Rebah ketika daki Bukit Besar

Sinar Harian
Februari 8, 2020 13:35 MYT
Difahamkan mangsa yang juga kakitangan kerajaan mengalami sesak nafas sebelum rebah pada jarak hanya hampir 100 meter dari puncak bukit kira-kira jam 6.30 petang. -Foto Sinar Harian
Seorang lelaki tiba-tiba rebah sebelum disahkan meninggal dunia ketika mendaki Bukit Besar di sini petang semalam.
Sebelum kejadian, Yusof Omar, 59, dikatakan mendaki bukit bersama anak lelakinya menggunakan laluan denai bukit berkenaan.
Difahamkan mangsa yang juga kakitangan kerajaan mengalami sesak nafas sebelum rebah pada jarak hanya hampir 100 meter dari puncak bukit kira-kira jam 6.30 petang.
Orang awam yang berada di lokasi kejadian kemudian membawa mangsa turun ke laluan tar sebelum menghubungi pihak terlibat untuk mendapatkan bantuan selanjutnya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba Rozizah Abni Hajar berkata, sejurus menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 6.40 petang, empat anggota termasuk penyelia ke lokasi.
Menurutnya, pegawai perubatan dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) turut ke lokasi memberi bantuan.
"Bomba bersama pegawai perubatan naik ke lokasi menggunakan kenderaan utiliti jenis Hilux menggunakan laluan tar.
"Ketika tiba, mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan pegawai perubatan memberi bantuan awal pernafasan (CPR)," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Katanya, pihaknya turut dimaklumkan bahawa CPR turut dilakukan orang awam sebelum pasukan penyelamat tiba.
"Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan susulan di HSNZ.
"Mayat mangsa dihantar ke Bilik Forensik HSNZ untuk bedah siasat," katanya.
#anak #bomba #Hospital #kerajaan #Kuala Terengganu #lelaki #mangsa #mayat #meninggal dunia #perubatan
;