#RealLifeHeroes mengangkat semangat Hari Kemanusiaan Sedunia 2020

Syahrir Azfar Saleh
Ogos 19, 2020 20:30 MYT
Terima kasih setulusnya. Semoga kita terus menjadi hero-hero dalam menjulang makna sebenar kemanusiaan.
HARI ini, 19 Ogos 2020 merupakan tahun kesebelas kita sama-sama menyambut Hari Kemanusiaan Sedunia.
Jarang sekali saya melihat pekerja kemanusiaan yang benar-benar mengabdikan diri mereka dalam dunia kemanusiaan ini mahu diangkat apatah lagi mendapatkan pengiktirafan.
Mereka melakukan segalanya atas nama kemanusiaan walau hingga terpaksa menyabung nyawa, melalui pelbagai risiko dan ketidaktentuan.
Namun kewujudan Hari Kemanusiaan Sedunia yang membawa tema #RealLifeHeroes pada tahun ini secara amnya memperakui dan memberikan penghormatan kepada semua pekerja dan sukarelawan kemanusiaan yang mengambil risiko dalam melaksanakan tugas-tugas kemanusiaan apatah lagi ketika dunia sedang memerangi Covid-19.
Tarikh tersebut diambil bagi memperingati kejadian pengeboman di Hotel Canal di Baghdad, Iraq (yang dijadikan sebagai ibu pejabat PBB semenjak awal 1990) yang berlaku pada tahun 2003.
Kejadian tersebut telah menyebabkan 22 orang terbunuh termasuk seorang wakil khas kepada Setiausaha Agung PBB ke Iraq, Sérgio Vieira de Mello. Boleh saksikan Filem Sérgio di Netflix untuk dapatkan gambaran.
Hari ini adalah hari untuk kita tahu bahawa terdapat lebih 130 juta manusia yang memerlukan bantuan kemanusiaan untuk meneruskan kehidupan.
Ia juga merupakan hari untuk kita sama-sama mengingati mereka yang terjejas dengan peperangan, bencana alam, penyakit dan kelaparan dan juga mereka yang bekerja bagi meringankan penderitaan orang lain.
Mereka memerlukan bantuan kita, tetapi kemampuan untuk pekerja kemanusiaan merealisasikan bantuan tersebut kini semakin mencabar dan berisiko.
Pekerja kemanusiaan tidak mempunyai agenda lain selain menyelamatkan nyawa dan menyediakan keperluan asas kehidupan seperti makanan, air, tempat tinggal rawatan perubatan dan juga perlindungan fizikal dan emosi kepada mereka yang lemah.
Dahulunya, pekerja kemanusiaan menjadi kelompok yang begitu dijaga dan dihormati, namun kini kelompok ini dijadikan sasaran.
Dahulunya pekerja kemanusiaan mendapat akses yang mudah untuk menghantar bantuan kemanusiaan namun kini mereka berhadapan dengan kesukaran akses kepada golongan sasaran menyebabkan ratusan ribu manusia tidak dapat menerima bantuan yang sepatutnya disampaikan.
Laporan UN menyebutkan setahun yang lepas merupakan tahun yang paling malang untuk pekerja kemanusiaan. Direkodkan 483 serangan, 125 yang terbunuh, 234 yang tercedera dan 124 telah diculik. Pertambahan sebanyak 18% kes berbanding tahun 2018.
Untuk akhirnya, saya letakkan kata-kata dari Mark Lowcock yang merupakan Under-Secretary-General for Humanitarian Affairs and Emergency Relief Coordinator :
To humanitarian workers everywhere doing important, courageous work on the front lines we say Thank You. You are saving lives every day, and as new challenges and crises are piling on to existing ones, your perseverance is an inspiration. Your protection is also paramount to making sure we can deliver to people most in need. The best way to pay tribute to humanitarian workers is by funding their work and ensuring their safety.
Kepada kalian yang terus menerus menyokong usaha yang digerakkan banyaknya organisasi kemanusiaan di Malaysia ini, kalianlah bagi kami the Real Life Heroes.
Tanpa dokongan serta doa yang dititipkan pada setiap usaha dan perjalanan kami menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada mereka yang memerlukan, pastinya kami tidak mampu untuk terus berdiri memperjuang keamanan sejagat.
Terima kasih setulusnya. Semoga kita terus menjadi hero-hero dalam menjulang makna sebenar kemanusiaan.
Selamat Hari Kemanusiaan Sedunia.
#agenda #Hari kemanusian sedunia #Malaysia #PBB #UN
;