Realiti Pekerjaan Masa Hadapan: Jangan hanya sasar untuk kerja di pejabat

Hafiz Marzukhi
Februari 10, 2018 04:44 MYT
Persepsi bekerja di pejabat menjamin masa depan seseorang wajar dikikis.
Pemikiran bahawa hanya 'kerja di pejabat' menjamin masa depan seseorang wajar dikikis memandangkan kebanyakan sektor pekerjaan 'bakal pupus' dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Profesor dari Universiti Cardiff Alison Brown berkata, sudah tiba masanya mendefinisi semua nilai sesuatu pekerjaan bagi mempersiapkan golongan muda untuk menghadapi cabaran pada masa kini dan masa hadapan.
"Jika kita lihat sebelum ini, ibu bapa menekankan kepentingan belajar tinggi-tinggi agar dapat bekerja di pejabat.
"Kita tidak boleh lagi mengamalkan pemikiran itu dan golongan akan datang juga tidak boleh bertindak sedemikian kerana akhirnya, mereka akan ketinggalan," kata beliau.
Pendapat sama turut disuarakan Pengarah Hubungan Antarabangsa New School University Michael Cohen yang menyifatkan ketiadaan peluang pekerjaan terutamanya bagi graduan merupakan isu yang serius.
"Kita harus menyedari perkara ini dan mengiktiraf bahawa ia merupakan satu cabaran yang signifikan.
"Golongan muda harus sedar bahawa dengan kepesatan teknologi masa kini, pekerjaan yang ada sekarang mungkin tiada lagi di masa hadapan," katanya.
Cohen dan Brown berkata demikian ketika sesi panel istimewa berhubung pertumbuhan ekonomi tempatan, produktiviti dan peluang pekerjaan belia di bandar pada Forum Bandar Sedunia (WUF) ke-9 yang memasuki hari keempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
WUF dijadualkan berakhir pada Selasa depan.
#Alison Brown #Michael Cohen #pekerjaan #pemikiran #sektor pekerjaan #Universiti Cardiff #WUF