Realiti miskin bandar, terus berusaha demi kehidupan lebih baik
Ridauddin Daud
Ogos 24, 2020 15:51 MYT
Ogos 24, 2020 15:51 MYT
Kehidupan di bandar sentiasa menghadirkan cabaran yang kadangkala melelahkan apatah lagi selepas negara diserang COVID-19.
Namun, segalanya perlu ditempuhi demi kelangsungan hidup dan sesukar manapun keadaan, mereka yang tidak jemu berusaha pasti akan menemui sinar di akhirnya.
Bertemu beberapa peniaga kecil di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi pada Isnin, ternyata ramai antara mereka berjiwa besar, berusaha sedaya mampu demi kelangsungan hidup.
Bagi peniaga nasi lemak, Nawirah Said, rutin hariannya bermula seawal jam 4.00 pagi, waktu di mana kebanyakan orang sedang lena dibuai mimpi.
Mempunyai lima anak, dua masih belajar, Nawirah memanfaatkan kebolehannya dalam memasak untuk mencari wang lebih buat keluarganya.
“Kita memanglah kena bekerja untuk jana pendapatan. Kalau orang yang bekerja pun, mereka cari kerja sampningan juga untuk jana pendapatan.
“Saya dah memang tidak bekerja, saya buat kerja sendirilah, memang adalah kerja untuk saya. Kita ini kalau ada sesuatu yang kita buat, memang tak susah. Yang penting kita usaha,” katanya kepada Astro AWANI.
Mengakui perniagaannya terjejas teruk angkara COVID-19 namun Nawirah tetap menjalankan perniagaan secara atas talian dan ia sedikit sebanyak membantunya untuk terus bertahan.
“Masa COVID-19, saya tetap berniaga dari rumah sebab ramai pelanggan cari dan mahu beli makanan dari saya. Jadi saya berniaga jugalah secara atas talian,” ujarnya.
Bagi peniaga roti canai, Abdul Razak Ahmad pula, dia terpaksa melakukan dua atau tiga kerja untuk memastikan keperluan keluarganya sentiasa mencukupi.
Jika tidak berniaga, kadangkala bapa kepada empat anak yang masih belajar ini memandu teksi untuk mendapatkan sedikit wang tambahan.
“Memang susah sikit, kita kena bersusah sikit, kena kerja lebih sikit. Saya berniaga petang saja, kalau tak berniaga mungkin bawa teksi jugalah, jalan sikit.
“Saya buat dua, tiga kerja jugalah. Terpaksalah sebab anak pun dah empat orang. Biarlah susah tak mengapa tapi janji kita berusahalah sendiri,” katanya.
Kadangkala kesihatannya tidak begitu baik, khemah pula diterbangkan ribut namun semangatnya, usahanya mencari rezeki tidak pernah terhenti.
Astro AWANI pada Isnin melaporkan golongan berpendapatan rendah, wanita dan kanak-kanak adalah individu yang paling terjejas akibat COVID-19.
Ini kerana mereka adalah kumpulan paling berisiko terhadap sebarang bentuk kejutan ekonomi.
Itu antara rumusan laporan Families on the Edge - Siri Ogos 2020 yang dikeluarkan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Dana Populasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA).
Kajian itu melibatkan 500 ketua isi rumah serta temu bual dengan 30 responden yang majoritinya adalah wanita yang menjadi ketua keluarga.
#anak
#Astro Awani
#kelangsungan hidup
#koronavirus
#nasi lemak
#peniaga
#PPR
#PPR Kerinchi
#rakyat
#roti canai
#rumah
#survival
#teksi