Reaksi media sosial: Jangan salahkan juruterbang atau pihak MAS
Azyyati Ahmad
Mac 9, 2014 12:44 MYT
Mac 9, 2014 12:44 MYT
Kebanyakannya orang ramai di Twitter memohon agar hentikan tulisan atau provokasi yang menyalahkan juruterbang mahupun pihak Malaysia Airlines (MAS).
Ini berikutan beberapa tulisan yang tidak bertanggungjawab di media sosial mengenai dua orang juruterbang yang terlibat dalam insiden tersebut..
MH370 dipandu oleh juruterbang Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53 yang berpengalaman mencatatkan jam penerbangan selama 18,365 jam.
Zaharie yang menyertai MAS sejak 1981 telah dibantu oleh Pegawai Pertama, Fariq Ab Hamid, 27 yang menyertai Malaysia Airlines pada 2007.
Pelbagai spekulasi dan khabar angin cuba disampaikan di ruang media dalam menyatakan kemungkinan apa yang berlaku kepada pesawat Boeing 777-200 milik MAS yang hilang sejak awal pagi Sabtu.
Namun begitu sejak kejadian ini dilaporkan, rata-ratanya berdoa agar anak kapal dan penumpang berada di dalam keadaan selamat dan apa yang berlaku adalah takdir ilahi.
Memetik kata-kata pesara juruterbang American Airlines, Kapt. Jim Tilmon kepada CNN mengenai insiden yang melanda, pesawat MH370 hilang di ruang yang kebanyakannya adalah kawasan darat.
“Ini bermakna di kawasan sebegitu punya banyak kadar hubungan, antena dan radar yang memudahkan kapal terbang itu dihubungi.
“Tambahan pula pesawat komersial itu antara yang tercanggih dan terbaik yang pernah ada dari segi rekod keselamatannya, insiden yang berlaku ini adalah sesuatu yang di luar dari jangkaan” katanya kepada CNN.
CNN antara portal berita yang memantau luas insiden ini.
Sehingga saat ini misi pencarian masih diteruskan dan diperluaskan.
Sementara itu, dalam satu sidang media, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengesahkan tiada bangkai pesawat yang ditemui di perairan Laut China Selatan seperti yang dilaporkan sebelum ini.