RDC3 pantau penyebaran ideologi melalui internet

Hilal Azmi
Oktober 21, 2015 08:58 MYT
Ahmad Zahid (dua dari kiri) memberi jaminan yang kerajaan AS akan membantu Malaysia untuk penubuhan RDC3 yang melibatkan aspek latihan, kelengkapan dan operasi. - Gambar Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Malaysia akan dijadikan pusat dalam memerangi penyebaran ideologi keganasan terutamanya gerakan militan, Islamic State (IS) dengan penubuhan Pusat Komunikasi Pintasan Mesej Digital Serantau (RDC3) menjelang hujung tahun ini.
Penubuhan RDC3 bertujuan menyekat penyebaran propaganda IS terutamanya melalui internet.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia dipilih kuasa besa Amerika Syarikat berdasarkan komitmen yang digerakkan kerajaan menerusi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menangani isu keganasan di rantau ini.
"Usaha yang kita lakukan bukan setakat undang-undang (anti-keganasan) yang telah diperkenalkan, tetapi usaha pencegahan yang dilakukan melalui dunia siber.
"RDC3 adalah suatu pusat untuk memantau semua pergerakan yang dijangkakan dilakukan oleh pihak penganas ataupun yang berpotensi untuk melakukan keganasan," katanya di sidang media selepas majlis pembukaan GPEC Asia 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PTWC), di sini, hari ini.
Tambahnya, model yang ada telah diaplikasi di beberapa buah negara maju teramsuk AS dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Ahmad Zahid (dua dari kiri) diiringi delegasi tempatan dan antarabangsa di majlis pembukaan GPEC di PWTC hari ini. - Gambar Astro AWANI/SHAHIR OMAR
"Kita akan guna model yang telah digunakan AS dan UAE. Dalam hal ini, negara-negara ASEAN termasuk Australia dan New Zealand serta negara berdekatan akan menggunakan RDC3 sebagai pusat rujukan yang dikendalikan sepenuhnya menjelang hujung tahun ini," katanya.
AS akan membantu Malaysia untuk penubuhan RDC3 yang melibatkan aspek latihan, kelengkapan dan operasi.
Sebelum ini pusat sama telah diwujudkan di AS dan UAE dalam memerangi penyebaran ideologi keganasan di internet terutamanya ideologi IS.
Bersedia berkhidmat ... Mungkin itu yang bermain di benak fikiran ahli pasukan VAT69 ini. - Gambar Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Malaysia telah memperkenalkan beberapa undang-undang anti-keganasan termasuk Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 dan Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Khas Menangani Keganasan di Luar Negara 2015 (SMATA).
#Amerika Syarikat #ASEAN #IS #Pusat Komunikasi Pintasan Mesej Digital Serantau #RDC3 #UAE #Zahid Hamidi