RCI Wang Kelian: KPN tahu lebih awal kem sementara, EAIC henti siasatan - Saksi ke-24
Fareez Azman
Mei 9, 2019 16:33 MYT
Mei 9, 2019 16:33 MYT
Saksi ke-24 dalam perbicaraan kes penemuan kem pelarian dan kubur besar Wang Kelian, mendedahkan Ketua Polis Negara (KPN) sebelum ini, Tan Sri Khalid Abu Bakar, mengetahui penemuan kem di Bukit Wang Burma itu lebih awal daripada bulan Mei, seperti yang disebut dalam sidang medianya pada Oktober 2015.
Ketika memberi keterangan di hadapan tujuh panel yang diketuai Pengerusi Suruhanjaya itu yang juga bekas Ketua Hakim Negara Tun Ariffin Zakaria, Aliza Shah Mohd Shah yang juga bekas wartawan News Straits Times Press (NSTP) mengesahkan perkara berkenaan ketika bertemu Khalid dalam satu Program Boling pada 2015.
“Tan Sri IGP suruh saya tutup rakaman audio. Jadi saya memang nak tahu adakah benar penemuan kem itu lebih awal. Dia (KPDN) menjawab memang betul mereka jumpa kem lebih awal.
"Tetapi apabila saya tanya, 'mengapa kata jumpa bulan Mei?', dia (KPN) memberitahu, ada perjanjian dengan counterpart di Thailand.
"(Khalid memberitahu) pihak polis Thailand meminta agar mereka yang membongkar isu ini dahulu, tapi Tan Sri Khalid meminta saya jangan tulis perkara itu kerana dibimbangi rakan sejawatnya di Thailand akan memarahi beliau," jelas Aliza.
Ia sekali gus menjawab penafian bekas KPN itu dalam sidang media pada 28 Mei 2015 bahawa kem sementara itu dijumpai pada Januari 2015.
Tambah Aliza, meskipun sudah cuba mendapatkan reaksi dan komen dari pengurusan kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM), namun ia gagal.
Malah jelas Aliza, dia bersama Editor Meja Siasatan Khas NSTP, Farrah Naz Karim, turut mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung laporan mereka.
Bagaimanapun selepas dua tahun membuat siasatan terperinci berkaitan kes terbabit, akhirnya laporan mereka dikeluarkan pada 20 Disember 2017.
Jelas Aliza, susulan laporan itu, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) tampil memanggil Farrah dan Editor Eksekutif NSTP Muzli Mohd Zain pada 23 Januari 2018.
Susulan itu juga, EAIC membuka kertas siasatan berhubung penemuan kem dan kubur itu.
Jelasnya dua hari selepas penemuan itu, Ketua Pengarah EAIC mengadakan pertemuan bersama KPN yang seterusnya, iaitu Tan Sri Muhamad Fuzi Harun.
Bagaimanapun selepas sebulan, dia membuat panggilan telefon pada suruhanjaya itu dan mendapati siasatan telahpun dihentikan.
“Pihak EAIC menjemput NSTP pada 23 Januari 2018. Dua hari selepas itu mereka diwakili ketua pengarah (NSTP) untuk berjumpa dengan Muhamad Fuzi. Mereka ada perjumpaan tertutup.
#EAIC
#kem pelarian
#kes mahkamah
#Ketua Polis Negara
#Khalid Abu Bakar
#kubur besar wang kelian
#muhamad fuzi harun
#perbicaraan
#RCI
#saksi
#siasatan diraja