RCI salah laku hakim masih menunggu keputusan mahkamah - Vui Keong
Radhi Muslim
Jun 2, 2019 15:10 MYT
Jun 2, 2019 15:10 MYT
Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) salah laku hakim masih menunggu keputusan mahkamah selepas seorang individu memfailkan saman terhadap Kerajaan Malaysia susulan penubuhan RCI berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Undang-undang, Datuk Liew Vui Keong berkata, pihaknya difahamkan ada individu yang memfailkan saman dikenali sebagai originating summons terhadap Kerajaan Malaysia.
Menurutnya, saman pemula berkenaan mengatakan penubuhan RCI itu tidak mengikut peruntukan Perlembagaan dan juga melanggar beberapa peruntukan terutama pencegahan kepentingan beberapa individu.
"Jadi (kita) terpaksa menunggu keputusan daripada mahkamah mengenai penubuhan RCI ini Tetapi pada masa sama, siasatan diteruskan pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah laku hakim-hakim yang dituduh dalam affidavit yang difailkan," katanya dalam sidang media di Progam Salam Aidilfitri dan Penyampaian Sumbagan Hari Raya di Batu Sapi, Sandakan, pada Ahad.
Pada Februari lalu, negara dikejutkan dengan pendedahan seorang hakim berkaitan campur tangan pihak hakim dalam beberapa kes mahkamah.
Kerajaan Pakatan Harapan kemudiannya bersetuju menubuhkan RCI untuk menyiasat salah laku itu namun terpaksa ditangguhkan.