RCI Batu Puteh syor siasatan jenayah terhadap Dr Mahathir
Sinar Harian
Disember 5, 2024 14:57 MYT
Disember 5, 2024 14:57 MYT
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ringkasan AI
- Cadangan Siasatan Jenayah: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mencadangkan siasatan jenayah terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkaitan keputusan menarik balik permohonan membatalkan keputusan ICJ mengenai Batu Puteh.
- Keputusan Tanpa Persetujuan Jemaah Menteri: Keputusan untuk tidak meneruskan permohonan semakan dan tafsiran penghakiman ICJ dibuat oleh Dr Mahathir melalui surat pada 21 Mei 2018, tanpa persetujuan Jemaah Menteri.
- Laporan RCI: Laporan RCI setebal 217 muka surat mengesyorkan laporan polis dibuat untuk memulakan siasatan jenayah, dan laporan ini telah diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 12 Ogos lalu.
Prosiding diusulkan susulan Malaysia kehilangan Batu Puteh kepada Singapura selepas Jemaah Menteri yang diketuai Dr Mahathir pada 2018 menarik balik permohonan membatalkan keputusan Mahkamah Antarabangsa (ICJ).
Tindakan berkenaan merupakan antara disyorkan RCI itu dalam laporan setebal 217 muka surat yang diedarkan kepada Ahli Parlimen di Dewan Rakyat pada Khamis.
Laporan akhir yang diklasifikasikan itu telah diserahkan oleh Pengerusi RCI, Tun Md Raus Sharif kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Istana Negara pada 12 Ogos lalu.
Suruhanjaya itu menyatakan, siasatan jenayah boleh dimulakan mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 417 dan Seksyen 418 kanun yang sama.
"Suruhanjaya mencadangkan agar satu laporan polis dibuat oleh setiausaha suruhanjaya bagi membolehkan siasatan dimulakan," menurut laporan itu.
Laporan itu turut mendedahkan, tindakan Peguam Cara Negara yang memaklumkan kepada Singapura bahawa Malaysia tidak berhasrat meneruskan Permohonan Semakan dan Permohonan Tafsiran penghakiman berhubung kes kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan bukan berdasarkan keputusan Jemaah Menteri.
Menurutnya, keputusan untuk tidak meneruskan kedua-dua permohonan berkenaan adalah berdasarkan surat Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri pada 21 Mei 2018 kepada Peguam Cara Negara, Datuk Engku Nor Faizah Engku Atek.
Keterangan yang didapati Suruhanjaya juga menunjukkan keputusan berkenaan disampaikan kepada Singapura pada pagi 23 Mei 2018, sebelum Mesyuarat Jemaah Menteri bermula pada jam 9.30 pagi.
"Surat Peguam Cara Negara tidak menyatakan bahawa keputusan untuk tidak meneruskan kedua-dua permohonan adalah keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri sebagaimana yang dinyatakan Tun Dr Mahathir.
"Adalah juga diperhatikan bahawa Tun Dr Mahathir tidak mempertikaikan dan/atau menafikan mahu pun membetulkan kandungan surat Peguam Cara Negara itu bagi memperjelas bahawa surat beliau bertarikh 21 Mei 2018 hanyalah satu pendapat semata-mata dan bukanlah keputusan atau arahan.
"Dengan alasan-alasan itu, Suruhanjaya tidak dapat menerima dakwaan Tun Dr Mahathir bahawa surat bertarikh 21 Mei 2018 supaya Malaysia tidak meneruskan kedua-dua permohonan berkenaan adalah suatu pendapat beliau semata-mata sebaliknya surat tersebut adalah suatu keputusan," menurutnya.
Sebagai rekod, pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh, manakala Batuan Tengah yang letaknya kurang satu kilometer (km) dari pulau itu milik Malaysia.
ICJ turut memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer (km) dari Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.
Pada 28 Mei 2018, kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika di bawah pimpinan Dr Mahathir menarik balik permohonan membatalkan keputusan ICJ yang menganugerahkan bidang kuasa undang-undang Batu Puteh kepada Singapura. -- Sinar Harian
#RCI Batu Puteh
#syor siasatan jenayah
#Dr Mahathir
#menarik balik permohonan
#batalkan keputusan ICJ
#terkini