RCEP buka peluang pedagang tempatan bersaing peringkat antarabangsa - Mohamed Azmin

Hilmi Malik
November 14, 2020 17:33 MYT
Mohamed Azmin berkata Malaysia dan negara ASEAN serta rakan dialog akan terus menjalin hubungan dengan India yang merupakan rakan dagang penting. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) bakal memanfaatkan pedagang dan pengusaha industri tempatan untuk mendapatkan akses antarabangsa membabitkan semua negara anggota yang terlibat.
Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perjanjian itu menjanjikan potensi besar kerana melibatkan kira-kira 47.5 peratus populasi dunia meskipun tidak melibatkan India.
“Ini memberi ruang kepada mereka (pedagang dan industri dari Malaysia) untuk mendapat akses yang lebih luas di negara anggota RCEP kerana ia mewakili jumlah pasaran yang jauh lebih besar.
"Selain itu, mereka turut menikmati pelbagai tarif yang jauh lebih rendah,” katanya ketika ditemu bual Astro AWANI.
Dalam pada itu, Mohamed Azmin berkata, pedagang Malaysia juga tidak terikat untuk mendapatkan sumber tempatan, sekali gus membolehkan mereka mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
“Bila kita ada 15 anggota RCEP, Malaysia tidak tertumpu (terikat) kepada sumber tempatan dan mereka dapat mencari sumber bahan ini daripada 15 negara anggota tersebut... sudah tentu ia membawa kebaikan kepada negara, ini peluang yang amat besar buat Malaysia," katanya.
Sementara itu katanya, perjanjian perdagangan bebas RCEP yang telah menjalani proses rundingan lebih lapan tahun untuk dimuktamadkan dijangka ditandatangani pada akhir Sidang Kemuncak ASEAN pada Ahad ini.
Mengenai India yang tidak menyertai RCEP, Mohamed Azmin berkata Malaysia dan negara anggota ASEAN serta rakan dialog akan terus menjalin hubungan dengan republik itu yang merupakan rakan dagang penting.
#ASEAN #ekonomi #Azmin Ali #India #RCEP #Mohamed Azmin Ali #perdagangan #perjanjian perdagangan bebas #Sidang Kemuncak ASEAN
;