Razman Zakaria mohon maaf kepada Nga Kor Ming

Bernama
Disember 12, 2024 11:00 MYT
Razman menyampaikan permohonan maaf kepada Kor Ming berhubung fitnah mengaitkan Pengerusi DAP Perak itu dengan insiden mengibar bendera negara China di Teluk Intan, Oktober lepas.
IPOH: Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria menyampaikan permohonan maaf kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berhubung fitnah mengaitkan Pengerusi DAP Perak itu dengan insiden mengibar bendera negara China di Teluk Intan, Oktober lepas.
Razman berkata, beliau mengaku terkhilaf dan terkeliru antara dua program yang dirasmikan oleh Nga pada tarikh 13 Sept dan satu program pada 24 Okt yang melibatkan insiden kibaran bendera negara China itu.
"Setelah dibuat penelitian daripada sumber maklumat, ternyata YB Nga Kor Ming tidak berada dalam program perarakan yang mencetuskan kontroversi tersebut.
"Saya mengaku bahawa dakwaan-dakwaan ini adalah tidak benar dan langsung tidak berasas. Saya meminta maaf tanpa apa-apa rizab kepada YB Tuan Nga Kor Ming untuk segala penderitaan dan rasa malu yang diakibatkan kepadanya disebabkan dakwaan-dakwaan ini," katanya dalam kenyataan dimuat naik ke satu media sosial.
Razman turut berkata, kenyataan media tersebut telah diturunkan daripada media sosial dan beliau memberi aku janji tidak akan membuat apa-apa dakwaan yang serupa atau yang bersifat sama terhadap Nga.
Nga pada 25 Okt memaklum akan mempertimbangkan mengambil tindakan atas dakwaan Razman yang menuduh Nga berada dalam program sambutan Guan Dong Sedunia di Teluk Intan pada 24 Okt lepas.
Peserta pada program itu dilaporkan telah mengibarkan bendera negara China dan videonya viral di media sosial sebelum satu laporan polis dibuat. - BERNAMA
#Razman Zakaria mohon maaf #Nga Kor Ming #kibar bendera China #Pesuruhjaya Pas Perak
;