Razarudin dilantik Timbalan Ketua Polis Negara secara kontrak dua tahun

Bernama
Mac 16, 2023 17:38 MYT
Tan Sri Razarudin Husain dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara secara kontrak berkuat kuasa hari ini hingga 15 Mac 2025. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Tan Sri Razarudin Husain dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara secara kontrak berkuat kuasa hari ini hingga 15 Mac 2025.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pelantikan itu termaktub di bawah Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis, telah memperkenan pelantikan secara kontrak selepas bersara.
"Kerajaan mengucapkan syabas dan tahniah di atas pelantikan ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Razarudin berumur 60 tahun dilahirkan pada 15 Mac 1963 di Dengkil, Selangor dan berkelulusan Ijazah Sarjana Sains Sosial Pengajian Kepolisan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia menjawat pelbagai jawatan di peringkat negeri dan kontinjen.
Beliau memulakan tugas pada tahun 1984 di Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Kedah sebagai Pegawai Penyiasat dan meneruskan khidmat di jabatan itu sehingga tahun 1996 dengan pangkat Penolong Penguasa Polis (ASP) di Daerah Muar, Johor.
- BERNAMA
#Razarudin Husain #Timbalan Ketua Polis Negara #Kementerian Dalam Negeri #Saifuddin Nasution Ismail
;