Razali: Rangka garis panduan cegah peminta sedekah ketika Ramadan
Bernama
Julai 24, 2013 13:42 MYT
Julai 24, 2013 13:42 MYT
Kerajaan disyor supaya merangka dasar atau garis panduan bagi mencegah perbuatan meminta sedekah di khalayak ramai yang kian meningkat setiap kali tiba bulan Ramadan dan Aidilfitri di negara ini.
Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Datuk Razali Ibrahim berkata langkah itu perlu bagi mengelak golongan tertentu mengambil kesempatan meraih keuntungan daripada kegiatan meminta sedekah di jalanan pada bulan yang mulia ini.
"Saya sendiri akan mengemukakan cadangan ini kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang bertanggungjawab dalam soal agama," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata masyarakat seharusnya menggalakkan golongan itu, yang beragama Islam datang ke pejabat agama untuk mendapatkan bantuan, kerana mereka ialah satu daripada asnaf yang boleh menerima wang kutipan zakat fitrah.
Katanya masyarakat juga harus dididik supaya tidak mudah menghulurkan derma hanya kepada peminta sedekah di tepi jalan sebaliknya menyalurkan derma kepada badan yang bertanggungjawab ataupun mereka yang diketahui sememangnya miskin.
"Kalau mereka benar-benar mahu beramal di bulan yang mulia ini, mereka boleh berbuat demikian dengan menghulurkan bantuan kepada jiran yang mereka kenali dan miskin," katanya.
Razali bimbang jika kegiatan meminta sedekah ini dibiar berleluasa, orang yang tidak bertanggungjawab mendapat faedah lebih banyak, manakala yang wajar menerima tidak mendapat hak sebenar.