Razali Ibrahim selar Majlis Peguam kerana biarkan sistem kehakiman dikritik
Haider Yutim
Februari 19, 2015 20:30 MYT
Februari 19, 2015 20:30 MYT
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Razali Ibrahim hari ini menyelar Majlis Peguam yang 'diam seribu bahasa' apabila pihak pembangkang secara terus mengkritik sistem kehakiman negara.
Ahli Parlimen Muar itu mengulas tentang tindakan pembangkang yang mempertikaikan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mendapati Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim telah bersalah meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.
"Pada saya kita sudah ada sistem untuk kendalikan kes-kes seperti itu, dan tindakan pembangkang adalah salah.
"Pekara itu sengaja dibuat bagi mencabar sistem tersebut dan untuk mengatakan bahawa sistem kehakiman kita tidak telus," kata Razali yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri kepada Astro AWANI.
Katanya dakwaan yang dibuat oleh pihak pembangkang itu dipengaruhi pelbagai unsur, namun mereka tetap meneruskannya meskipun mengetahui perkara itu tidak baik.
Tambahnya lagi, Majlis Peguam juga tidak menegur tindakan yang dibuat pihak pembangkang itu.
Sementara itu, menyentuh tentang siri dialog oleh ketua pendakwa raya bagi kes Liwat II, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, katanya tidak menjadi kesalahan untuk orang ramai mendapat penerangan tentang apa yang berlaku.
"Sama ada dia perlu (beri penerangan), sebahagian mungkin kata okay dan sebahagian mungkin kata 'cukup-cukuplah'," kata Razali lagi.
Semalam, beberapa ahli Majlis Peguam telah membidas Presidennya, Christopher Leong kerana mempersoalkan kenapa Saiful tidak dituduh bersubahat.
Persoalan telah timbul antara mereka tentang bagaimana Leong, yang mungkin telah salah mentafsir undang-undang dan fakta kes tersebut sehingga membuat pertikaian sedemikian.