Rayuan SRC: ZIST melakukan yang terbaik - Zaid Ibrahim

Bernama
Ogos 19, 2022 21:13 MYT
Zaid berkata, firma itu telah menerima keputusan bekas perdana menteri itu dengan hati terbuka untuk memberhentikan khidmat firma guamannya. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Datuk Mohd Zaid Ibrahim berkata fima guamannya, Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST), telah melakukan yang terbaik untuk prosiding rayuan akhir Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap sabitan dan hukuman atas penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Dalam hantaran menerusi Facebook hari ini, Mohd Zaid, berkata mereka menerima dan memahami bahawa Najib kini berada pada saat genting dalam garis masa kes SRC dengan kebebasan peribadinya menjadi pertaruhan.
Katanya, firma itu telah menerima keputusan bekas perdana menteri itu dengan hati terbuka untuk memberhentikan khidmat firma guamannya.
"Saya mengesahkan bahawa keputusan ini dibuat oleh Najib dengan sokongan penuh dan persetujuan saya.
"Seperti yang saya faham, keputusan beliau (Najib) itu didorong atas kepercayaannya bahawa peguamnya tidak lagi boleh memberikan khidmat berguna dalam pendengaran kes rayuan akhir di Mahkamah Persekutuan," katanya.
Mohd Zaid seterusnya berkata firma itu memahami sepenuhnya bahawa Najib perlu melakukan apa yang terbaik untuk dirinya.
Katanya, beliau (Mohd Zaid) berpegang pada kenyataan awalnya bahawa firma guamannya tidak akan sekali-kali meninggalkan Najib sebagai anak guam atau mana-mana pelanggan lain.
"Itu bukan budaya mahupun tradisi kita. Namun begitu, keperluan keadaan dan situasi luar biasa semasa mendorong kami untuk mengambil berat tentang keperluan anak guam dan kepentingan anak guam adalah yang paling utama," katanya.
Dia juga mendoakan yang terbaik untuk Najib dan memberi jaminan bahawa beliau akan sentiasa berada untuk membantunya dalam apa jua situasi, sebagai seorang peguam dan sahabat.
Beliau kemudian melantik firma guaman ZIST manakala Hisyam Teh Poh Teik dilantik bagi menggantikan Muhammad Shafee sebagai peguam bela utama.
Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap Najib bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah jenayahdan setiap tiga pertuduhan pengubahan wang haram, dan penjara 12 tahun serta denda RM210 juta (jika gagal bayar, penjara lima tahun) bagi tuduhan menyalahgunakan kedudukan.
Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana semua hukuman penjara berjalan serentak.
Tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara serta denda.
-- BERNAMA
#Zaid Ibrahim #ZIST #kes najib #rayuan akhir #Najib Razak #SRC International
;