Rayuan SRC: Rosmah, anak-anak hadir beri sokongan kepada Najib

Firdaus Azil
Ogos 18, 2022 08:02 MYT
Nor Ashman Najib (kiri) dan Nooryana Najwa tiba sekitar pukul 9 pagi di Istana Kehakiman, Putrajaya untuk memberi sokongan moral kepada bapa mereka, Datuk Seri Najib Tun Razak. - Gambar BERNAMA
PUTRAJAYA: Datin Seri Rosmah Mansor hari ini hadir di Istana Kehakiman bagi memberi sokongan kepada suaminya, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedang melalui proses rayuan berhubung sabitan kes SRC International Sdn Bhd.
Rosmah, dilihat hadir sekitar pukul 1 tengah hari dan menyertai anak-anaknya Nor Ashman dan Nooryana Najwa di kafeteria Istana Kehakiman untuk makan tengah hari bersama bekas Perdana Menteri itu.
Nor Ashman dan Nooryana Najwa dilihat sudah berada di Istana Kehakiman sekitar pukul 9 pagi lagi untuk memberi sokongan moral kepada bapa mereka.
Terdahulu, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel lima hakim bagi rayuan tersebut, mengarahkan mahkamah untuk berhenti rehat pada pukul 1 tengah hari dan bersambung semula pada pukul 2.30 petang.
Turut membarisi panel tersebut ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan tiga Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk P Nallini, Datuk Mary Lim Thiam Suan, dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.
Pada sebelah pagi, suasana dalam kamar bicara agak dramatik apabila ketua pembelaan Hisyam Teh Poh Teik memohon maaf kepada panel lima hakim dan berkata beliau tidak dapat terus mewakili anak guamnya dalam rayuan tersebut.
Hisyam berkata, beliau tidak dapat berbuat demikian atas alasan tidak mempunyai persiapan sepenuhnya dalam pembelaan tersebut memandangkan beliau dan firma Tetuan Zaid Ibrahim, Suflan, Th Liew & Rakan Kongsi baru dilantik menggantikan pasukan pembelaan yang lama.
Namun, Tengku Maimun berkata, panel lima hakim sebulat suara menolak permohonan tersebut, dan mengarahkan Hisyam untuk terus mengetuai pembelaan atas nama keadilan.
Sejurus selepas mahkamah bersambung semula, Hisyam bangun dan memberitahu mahkamah bahawa beliau dan pasukan pembelaan berhasrat untuk memfailkan hujahan bertulis yang baharu.
“Sebentar tadi apabila Yang Amat Arif (Tengku Maimun) bertanya sekiranya saya akan bergantung kepada hujahan bertulis (yang difailkan pada peringkat Mahkamah Rayuan pada 2021), saya kata ya.
“Saya ingin memasukkan dalam rekod bahawa saya berhasrat untuk memfailkan hujahan bertulis yang baharu,” katanya lagi.
Namun, beliau tidak memaklumkan kepada mahkamah bila perkara itu akan dilakukan.
#SRC International #Najib Razak #Rosmah Mansor #anak-anak Najib