Rayuan SRC: Pembelaan tutup kes, Najib harap keadilan dapat berpihak kepadanya
Firdaus Azil
Mei 18, 2021 17:34 MYT
Mei 18, 2021 17:34 MYT
PUTRAJAYA: Selepas 15 hari proses rayuan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung SRC Intenational Sdn Bhd berlangsung, pasukan pembelaan selesai menutup kes hari ini.
Bagaimanapun, panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil memaklumkan, mereka memerlukan masa untuk mempertimbang hujah kedua-dua pihak, sebelum memutuskan sama ada hukuman ke atas Ahli Parlimen Pekan itu dikekalkan, atau diketepikan.
Abdul Karim berkata, tarikh untuk alasan penghakiman akan dimaklumkan apabila mereka telah bersedia, dan kes itu ditangguh ke masa yang akan ditentukan kemudian.
Sementara itu, Najib memberitahu media, beliau berharap agar keadilan dapat ditegakkan, dan seterusnya dapat membantu membersihkan namanya.
“Saya nak nyatakan penghargaan terima kasih saya kepada barisan peguam saya, yang pada pendapat mereka telah membuat yang terbaik dan bersungguh-sungguh dalam keadaan pada waktu yang amat terbatas sebab kita ada kes yang lain yang berjalan hampir serentak.
“Saya juga doakan bahawa keadilan akan timbul dan saya dapat peluang untuk membersihkan nama saya. Sudah tentu tempoh ini amat menguji kepada saya dan keluarga, dan saya doa ke hadrat Illahi insya-Allah apa kita harapkan akan menjadi kenyataan,” katanya lagi.
Pada 28 Julai lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali mendapati Najib bersalah ke atas kesemua tujuh pertuduhan yang membabitkan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah, serta pengubahan wang haram membabitkan dana RM42 juta milik SRC International.
Biarpun, Presiden UMNO itu telah dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, Mohd Nazlan membenarkan permohonan menangguh hukuman sehingga selesai kesemua proses rayuan.
Untuk rekod, perbicaraan itu ditetapkan selama 12 hari, bermula 5 April lepas, namun ia telah ditangguhkan beberapa kali, dan menyaksikan proses berjalan selama lima minggu.
#Najib Razak
#SRC International
#proses rayuan
#Perdana Menteri
#mahkamah
#jenayah
#UMNO
#penjara
#menteri