Rayuan SRC Najib: Tak ada kenyataan media - Mohamed Shafee

Sinar Harian
Ogos 23, 2022 04:00 MYT
Mohamed Shafee meninggalkan mahkamah jam 11.05 pagi. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
PUTRAJAYA: "Tidak ada kenyataan media," itu reaksi bekas peguam Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Mohamed Shafee Abdullah kepada pemberita di lobi Mahkamah Persekutuan.
Kelibat Mohamed Shafee itu dilihat memasuki pekarangan mahkamah sekitar jam 10 pagi sebelum memasuki kamar perbicaraan rayuan akhir bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau kemudiannya meninggalkan mahkamah jam 11.05 pagi.
Terdahulu, peguam utama Najib, Hisyam Teh Poh Teik memaklumkan kepada mahkamah beliau telah meminta Muhammad Shafee untuk membantunya dan akan mengemukakan hujahan dalam permohonan supaya Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimon Tuan Mat menarik diri dari mendengar rayuan akhirnya.
Ikuti perkembangan kes Najib Razak di sini
[LAPOR LANGSUNG] Kes SRC: Prosiding rayuan akhir Najib
Pada 26 Julai lalu, Ahli Parlimen Pekan itu bertindak memecat Mohamed Shafee dan peguam dari firma Tetuan Shafee & Co daripada mewakilinya dalam rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Mohamed Shafee dan peguamnya menawarkan khidmat guaman kepada Najib dalam kes SRC International sejak 4 Julai 2018.
#SRC International #Najib Razak #Shafee Abdullah #rayuan akhir