Rayuan saman Halim Saad terhadap Tun M ditetapkan 18 Ogos tahun depan

Bernama
November 11, 2024 18:45 MYT
Halim (kiri) mendakwa beliau mengalami kerugian susulan pengambilalihan saham Renong Bhd dan United Engineers Malaysia Berhad (UEM) oleh kerajaan. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menetapkan 18 Ogos tahun depan untuk mendengar rayuan tokoh korporat Tan Sri Halim Saad terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman beliau yang difailkan terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan dua pihak lain.

Ringkasan AI
  • Mahkamah Rayuan menetapkan 18 Ogos tahun depan untuk mendengar rayuan Tan Sri Halim Saad terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman beliau terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad dan dua pihak lain.
  • Halim mendakwa mengalami kerugian akibat pengambilalihan saham Renong Bhd dan UEM oleh kerajaan pada 2001 dan diarahkan oleh Dr Mahathir dan Nor Mohamed untuk tidak meneruskan tawaran am dan menyerahkan kawalan.
  • Pesuruhjaya Kehakiman mendapati tuntutan Halim terhalang oleh prinsip res judicata dan had masa, dengan defendan menafikan pengambilalihan saham tersebut dipersetujui dengan pampasan sebanyak RM165 juta.

Dalam saman tersebut, Halim mendakwa beliau mengalami kerugian susulan pengambilalihan saham Renong Bhd dan United Engineers Malaysia Berhad (UEM) oleh kerajaan pada 2001.
Peguam Halim, A. Surendra Ananth, mengesahkan tarikh pendengaran tersebut ketika dihubungi Bernama.
Pada 9 Mei tahun ini, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Dr Mahathir, bekas Menteri Kewangan II Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan kerajaan untuk membatalkan saman yang dikemukakan oleh Halim yang juga bekas Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Renong.
Dalam penyataan tuntutannya, Halim mendakwa beliau berniat untuk membuat tawaran am bagi menswastakan UEM sebagai anak syarikat Renong yang akan membolehkan beliau memperoleh kawalan dan milikan penuh ke atas UEM melalui Renong.
Beliau mendakwa diarahkan oleh Dr Mahathir dan Nor Mohamed secara langsung supaya tidak meneruskan tawaran am kerana kerajaan ingin mengambil semua saham dalam UEM melalui Khazanah Nasional Berhad atau pihak yang akan dicalonkan oleh Khazanah.
Halim selanjutnya mendakwa beliau juga diarahkan untuk meninggalkan UEM dan Renong sebagai pemegang saham dan pengarah termasuk anak-anak syarikat kedua-dua syarikat tersebut, sekali gus memaksanya menyerahkan kawalan ke atas Renong dan UEM kepada kerajaan serta melupuskan sahamnya dalam Renong dengan kerugian.
Dalam memorandum rayuannya, tokoh korporat berusia 71 tahun itu berhujah bahawa Pesuruhjaya Kehakiman telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta dalam memutuskan bahawa tuntutannya terhalang oleh prinsip res judicata disebabkan tuntutannya sebelum ini di Mahkamah Tinggi.
Beliau juga berhujah Pesuruhjaya Kehakiman telah tersilap dari segi undang-undang dan fakta dalam memutuskan bahawa had masa terpakai bagi kesnya.
Dalam alasan penghakimannya, Pesuruhjaya Kehakiman Dr Suzana Muhamad Said mendapati satu lagi kes saman difailkan Halim sebelum ini terhadap Khazanah, Nor Mohamed dan kerajaan pada 2013 membabitkan isu sama, tekah diputuskan mahkamah.
Dalam pernyataan pembelaan, ketiga-tiga defendan itu menafikan mengambil alih pemegangan saham tersebut kerana ia dipersetujui oleh Halim sendiri dengan pampasan sebanyak RM165 juta.
-- BERNAMA
#rayuan saman #Halim Saad #Mahathir Mohamad #pengambilalihan saham #UEM
;