Rayuan hukuman penjara 7 tahun, 2 sebatan, denda RM10 juta Syed Saddiq esok

Sinar Harian
Mac 18, 2025 15:00 MYT
Syed Saddiq memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November tahun lepas. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Nasib Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sama ada dibebaskan daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta atau kekal bersalah atas empat kesalahan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) akan diputuskan selepas hujahan di Mahkamah Rayuan di sini pada Rabu.

Ringkasan AI
  • Nasib Syed Saddiq sama ada dibebaskan atau kekal bersalah atas empat kesalahan berkaitan dana Armada akan diputuskan selepas hujahan di Mahkamah Rayuan pada Rabu.
  • Syed Saddiq dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan, dan denda RM10 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas pertuduhan pecah amanah, salah guna harta, dan pengubahan wang haram.
  • Rayuan ini merupakan peringkat kedua pengadilan, dan jika didapati kekal bersalah, Syed Saddiq masih boleh membuat rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan.

Sebelum ini mahkamah menetapkan hujahan bagi kedua-dua pihak, dijalankan selama dua hari iaitu 19 dan 20 Mac.
Prosiding akan didengar di hadapan panel tiga hakim, dengan pihak pembelaan diketuai peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Syed Saddiq, 33, selaku perayu memulakan hujahan terhadap sabitan dan hukuman.
Ia kemudiannya diikuti hujahan daripada pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin selaku responden.
Beliau juga merupakan Ketua Bahagian Perundangan dan Pendakwaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Syed Saddiq memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November tahun lepas.
Hakim, Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta selepas mendapati ahli politik itu bersalah atas empat pertuduhan melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang berkaitan dana Armada.
Menerusi penghakiman setebal 22 muka surat, mahkamah menolak pembelaan Syed Saddiq sambil menyifatkan keterangannya `tidak masuk akal’.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Syed Saddiq untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan dilupuskan di Mahkamah Rayuan.
Susulan itu, Syed Saddiq mengemukakan 18 alasan dalam petisyen rayuannya supaya dibebaskan daripada empat kes itu serta mengetepikan hukuman terbabit.
Syed Saddiq berkata, hakim bicara terkhilaf dari segi undang-undang apabila mensabitkannya atas empat kes itu.
Katanya, hakim gagal untuk mengambil kira, memahami intipati dan kehendak Seksyen 405 Kanun Keseksaan, maka perbuatan perayu seperti tertera dalam pertuduhan pertama tidak terjumlah kepada kesalahan di bawah seksyen terbabit.
Akibat kegagalan ini katanya, hakim terkhilaf dalam menyamakan pengeluaran dengan perbelanjaan wang.
Prosiding rayuan ini merupakan peringkat kedua pengadilan, yang mana sekiranya dia didapati kekal bersalah, Syed Saddiq masih boleh membuat rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan.
Bagi pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Penolong Bendahari Armada ketika itu, Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan dana Armada berjumlah RM1 juta untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.
Pertuduhan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, di sini, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh didenda.
Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Bekas Presiden Muda itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Bagi kesalahan ini, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram. - Sinar Harian
#Syed Saddiq #hukuman penjara #pengubahan wang haram #Mahkamah Rayuan
;