Rayuan ditolak, lelaki rogol wanita hamil kekal dipenjara 9 tahun

Bernama
Oktober 9, 2024 17:38 MYT
Mohammad Sukri (tengah) ketika diiringi polis di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, hari ini. -Bernama
KUALA TERENGGANU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan hukuman penjara sembilan tahun dan tiga sebatan terhadap seorang buruh yang didapati bersalah merogol seorang wanita hamil tujuh bulan di Kemaman, lima tahun lepas.

Ringkasan AI
  • Mahkamah Tinggi mengekalkan hukuman penjara sembilan tahun dan tiga sebatan terhadap Mohammad Sukri Jaafar kerana merogol seorang wanita hamil tujuh bulan.
  • Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani menolak rayuan Mohammad Sukri dan memerintahkan hukuman penjara bermula hari ini.
  • Kejadian berlaku pada 25 Oktober 2019 di kawasan pembuangan sampah di Kampung Mak Chili, Chukai.

Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani membuat keputusan tersebut selepas menolak rayuan Mohammad Sukri Jaafar, 43, dan memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara bermula hari ini.
Mohammad Sukri diwakili oleh peguam Muhammad Nadzir Abdullah manakala Timbalan Pendakwa Raya Nur Aisyah Mohamad bertindak bagi pihak pendakwaan.
Pada 16 Jan lepas, Mahkamah Sesyen Kemaman menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Mohammad Sukri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Mengikut pertuduhan, Mohammad Sukri didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia 20 tahun di kawasan pembuangan sampah di Kampung Mak Chili, Chukai, Kemaman pada 10 pagi, 25 Okt 2019.
Media sebelum ini melaporkan tindakan mangsa menumpang kereta tertuduh yang tidak dikenalinya membawa padah apabila dia dirogol individu terbabit di kawasan pembuangan sampah.
Menurut laporan. kejadian berlaku apabila mangsa yang sedang menunggu bas di perhentian bas kampung berkenaan untuk ke rumah kakaknya di Chukai telah didatangi oleh tertuduh yang memandu kereta dan ,mempelawanya menaiki kenderaan itu lalu merogolnya.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabit kesalahan.
-- BERNAMA
#rogol #hukuman penjara #Mohammad Sukri Jaafar #kawasan pembuangan sampah #Kampung Mak Chili Chukai
;