Rayuan akhir Peter Anthony selesai, mahkamah tangguh keputusan

Bernama
Ogos 1, 2024 12:19 MYT
Ini adalah rayuan terakhir Peter selepas Mahkamah Tinggi pada 18 April tahun lepas menolak rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menangguhkan keputusan rayuan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony terhadap sabitan dan hukuman kerana memalsukan dokumen berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim membuat keputusan itu selepas mendengar hujah peguam Datuk Nicholas Kow Eng Chuan dan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.
"Kita akan menetapkan tarikh lain untuk keputusan," kata Ahmad Zaidi yang bersidang bersama-sama Hakim Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin.
Mahkamah kemudian menetapkan 16 Ogos ini untuk pengurusan kes.
Ini adalah rayuan terakhir Peter selepas Mahkamah Tinggi pada 18 April tahun lepas menolak rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen pada 26 Mei 2022.
Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri Melalap itu telah membayar denda.
Peter, sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd, didakwa memalsukan surat Pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 iaitu memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014 mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.
Terdahulu, Kow berhujah pertuduhan terhadap anak guamnya adalah cacat atas alasan tiada tandatangan pendakwa raya di kertas pertuduhan yang dibacakan kepada Peter semasa beliau didakwa.
Beliau berkata kertas pertuduhan perlu ditandatangani oleh pendakwa raya selaras dengan peruntukan Seksyen 172 Kanun Tatacara Jenayah.
"Pendakwaan menghujahkan bahawa peruntukan itu hanya terpakai untuk kes di Mahkamah Tinggi sahaja sebaliknya kes Peter dibicarakan di Mahkamah Sesyen.
"Namun kami berhujah bahawa pelaksanaan undang-undang mesti sama kerana peruntukan ini mesti diguna pakai di mahkamah rendah," kata peguam itu.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin pula berkata ketiadaan tandatangan pada kertas pertuduhan tidak membawa kepada salah laksana keadilan.
Beliau berkata pertuduhan yang dikemukakan sama ada asal atau dipinda telah dibaca dan diterangkan kepada Peter.
"Perayu juga memahami pertuduhan yang dibacakan kepadanya maka ketiadaan tandatangan pada kertas pertuduhan hanyalah satu ketinggalan yang tidak boleh dianggap sebagai salah laksana keadilan," katanya.
-- BERNAMA
#Peter Anthony #mahkamah #pemalsuan dokumen #keputusan rayuan