Rayer dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu P.Pinang

Bernama
September 4, 2023 22:20 MYT
Ahli Parlimern Jelutong, RSN Rayer dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu (HEB) Pulau Pinang yang baharu berkuat kuasa 30 Ogos lalu hingga 31 Julai tahun depan.
GEORGE TOWN: Ahli Parlimern Jelutong, RSN Rayer dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu (HEB) Pulau Pinang yang baharu berkuat kuasa 30 Ogos lalu hingga 31 Julai tahun depan.
Pelantikan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang itu diumumkan hari ini oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow bagi mengisi kekosongan jawatan itu yang ditinggalkan oleh bekas Timbalan Ketua Menteri II, Dr P. Ramasamy.
Ramasamy mengumumkan keluar dari DAP dan melepaskan semua jawatan dalam parti itu pada 10 Ogos lalu.
Chow berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) yang bermesyuarat Rabu lepas telah bersetuju dengan pelantikan Rayer.
"Bagi pihak kerajaan negeri Pulau Pinang, setinggi-tinggi tahniah diucapkan atas lantikan berkaitan dan adalah diharapkan YB (Rayer) dapat memantapkan lagi prestasi pihak lembaga secara keseluruhan," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Chow berkata Rayer sebelum ini telah menabur khidmat dengan HEB Pulau Pinang sejak tahun 2008 sebagai Pesuruhjaya dan juga Timbalan Pengerusi.
Katanya, Rayer akan membuat pengumuman lanjut berhubung barisan Pesuruhjaya HEB Pulau Pinang bagi tempoh lantikan yang sama dalam masa terdekat.
-- BERNAMA
#RSN Rayer #Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu #pulau pinang #Ahli Parlimern Jelutong
;